
SIBU — Usaha kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan pendidikan digital diteruskan apabila sejumlah RM5 juta diperuntukkan melalui Jawatankuasa Perunding Sekolah Cina Sarawak bagi melengkapkan sekolah rendah bantuan Cina dengan kemudahan bilik darjah pintar.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, peruntukan tersebut turut digunakan bagi menyediakan bahan rujukan elektronik bagi subjek Matematik dan Sains khususnya untuk pelajar yang akan beralih ke peringkat sekolah menengah.
Menurut beliau, sebanyak 369 kelas di Sarawak akan dinaik taraf dengan kemudahan tersebut.
“Inisiatif ini bertujuan memupuk minat murid sekolah Cina terhadap pembelajaran sains dan teknologi. Melalui kemudahan bilik darjah pintar yang lebih interaktif, menarik dan berasaskan penggunaan internet, kita mahu meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan fasiliti bilik darjah pintar kepada empat buah sekolah rendah di sekitar Sibu dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka pada Rabu.
Empat sekolah terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kiew Nang, SJKC Dung Sang, SJKC Su Lai, dan SJKC Kiang Hin membabitkan keseluruhan 68 kelas yang akan dinaiktaraf bagi fasa pelaksanaan tersebut.
Michael turut menegaskan bahawa penggunaan fasiliti interaktif di sekolah rendah merupakan langkah tepat untuk memperkenalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih moden serta berkesan.
Tambahnya, penyaluran dana tersebut membuktikan komitmen kerajaan Sarawak untuk berlaku adil dalam aspek pendidikan.

“Bantuan seperti ini bukan saja diberikan kepada sekolah arus perdana tetapi juga sekolah bantuan Cina selaras dengan prinsip keadilan dalam pembangunan pendidikan negeri,” ujarnya.




