
KUCHING – Golongan belia di Sarawak bukan sekadar pewaris kepada dasar pembangunan negeri, sebaliknya turut berperanan sebagai penggerak utama dalam pelaksanaannya, kata Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.
Menurut Fazzrudin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, penglibatan aktif belia dalam pembentukan dasar di bawah Pelan Pembangunan Sarawak 2030 (PCDS 2030) membuktikan bahawa golongan muda kini diiktiraf sebagai pemimpin masa kini, bukan lagi semata-mata pemimpin masa hadapan.
“Belia bukan sahaja penyumbang kepada dasar, malah mereka juga merupakan pelaksana dan pewaris kepada semua inisiatif yang sedang digerakkan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui oleh media selepas menghadiri Program Suara 2.0.
Beliau berkata, belia terlibat secara langsung dalam sesi perbincangan bersama pemimpin negeri termasuk Premier Sarawak, di mana pelbagai pandangan serta cadangan telah dikemukakan dan sebahagiannya telah diterjemahkan kepada dasar kerajaan.
Tambahnya, beberapa inisiatif besar seperti Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak, Sarawak Microelectronics Design (SMD), inisiatif hidrogen dan ekonomi hijau merupakan antara dasar strategik yang akan diwarisi serta diteruskan oleh generasi muda.
“Belia inilah yang akan memastikan kesinambungan dan kejayaan semua inisiatif ini pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Yayasan Perpaduan Sarawak kerana menganjurkan program berkenaan yang memberi pendedahan kepada belia mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan PCDS 2030 agar mereka seiring dengan hala tuju pembangunan negeri.




