KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain mencadangkan beberapa inisiatif bagi mengembalikan tarikan Tasik Chini sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi di Pahang.
Beliau berkata, Tasik Chini adalah khazanah alam semula jadi yang menjadi destinasi pelancongan berasaskan alam, selain satu daripada tiga kawasan Rizab Biosfera UNESCO di Malaysia.
“Melalui usaha Perbadanan Taman Negeri dan Tourism Pahang, kita dapat membantu mengembalikan daya tarikan Tasik Chini kepada pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya, lapor Sinar Harian.
Tambah beliau, antara cadangan dikemukakan termasuklah pembinaan menara tinjau, laluan pejalan kaki atau trek untuk aktiviti trekking, galeri warisan Tasik Chini, pusat interpretasi alam serta eko-resort bertaraf antarabangsa.
Mohd Sharim berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan sokongannya terhadap usaha kerajaan negeri yang sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri perlu memberi perhatian khusus kepada beberapa aspek penting dalam usaha memacu pembangunan komuniti luar bandar.
Jelasnya, aspek pertama ialah peningkatan capaian internet dan liputan telekomunikasi di kawasan kampung tradisi bagi merangsang ekonomi digital luar bandar.
“Kedua, program baik pulih rumah uzur, khususnya untuk warga emas dan ibu tunggal; dan ketiga, geran mikro usahawan desa bagi membantu pengusaha kecil memasarkan produk kampung ke pasaran digital.
“Seterusnya, program digitalisasi usahawan desa, ekonomi digital desa serta platform jualan digital bagi produk kampung ini akan membuka peluang pendapatan baharu kepada penduduk kampung,” katanya.






