
SERIAN – Seorang lelaki disahkan maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan Telagus, Jalan Balai Ringin pada tengah hari Isnin.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada1.18 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, PBK I Rosnani Malong, berkata kemalangan tersebut melibatkan sebuah Toyota Avanza, Proton Saga dan Proton X50.
“Toyota Avanza membawa empat mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak. Seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan bomba,” katanya.
Menurut beliau, penumpang Proton Saga dan Proton X50 pula mengalami kecederaan ringan.
Operasi di lokasi kejadian dikawal pada 2 petang dan setakat 2.33 petang, pihak bomba masih menunggu ketibaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Seramai tujuh anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Pihak bomba turut dibantu oleh PDRM dan KKM.






