
KOTA KINABALU – Dua rentung apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyalamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti.
Beliau berkata, lima anggota dari BBP Kota Kinabalu bersama lima anggota BBP Putatan digerakkan ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.30 pagi.
”Kebakaran melibatkan sebuah kenderaan Perodua Axia yang terbakar sepenuhnya akibat kemalangan jalan raya bersama dua kenderaan lain iaitu Perodua Viva dan Toyota Vigo.
”Dua mangsa rentung berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,’’ katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Ordine, dua pemandu di kenderaan lain masing-masing berumur 22 dan 34 tahun mengalami kecederaan ringan.
Operasi kemudian ditamatkan pukul 4.40 pagi.







