
KOTA KINABALU – Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan mengingatkan orang awam agar berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen di media sosial berkenaan prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Pesanan itu disampaikan melalui Peguam yang mewakili ibu Zara, Shahlan Jufri, bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan perjalanan inkues.
“Dia berpesan (Hakim) kalau tidak ada apa-apa yang perlu diperkatakan lebih baik diam. Jangan timbulkan spekulasi kerana akan mengganggu Inkues.
“Dia tidak mahu terlalu banyak ‘contempt of prosiding’ prosiding hina mahkamah, cukuplah dua individu yang akan didengar pada 18 Disember ini,” katanya kepada media selepas inkues Zara Qairina, di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Dalam pada itu katanya, Hakim turut menasihati kepada pihak yang mempunyai maklumat relevan untuk menyalurkannya kepada pihak berkaitan.
“Sekiranya mana-mana pihak mempunyai informasi yang relevan sila tampil ke depan, beri kepada pihak yang berauthoriti dan peguam-peguam pihak berkepentingan,” katanya.
Sementara itu, Shahlan berkata, inkues akan bersambung semula pada 21 Januari sehingga 13 Februari tahun hadapan.
“Ia akan dimulakan dengan dua orang cikgu iaitu pengetua dan juga ketua warden akan dipanggil semula serta ibu Zara akan memberi keterangan di mahkamah.
“Selepas itu, inkues kan diteruskan dengan saksi kanak-kanak semula yang mana ia bukan publik seperti inkues sebelum ni,” ujarnya.


