PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Sumber memaklumkan Adun Lamag yang kini di unit rawatan rapi(ICU), berada dalam keadaan kritikal dan sedang ditidurkan kerana komplikasi yang melibatkan paru-paru, jantung dan buah pinggangnya.
Beliau difahamkan dimasukkan ke Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Rahman Dahlan mengesahkan situasi Bung dalam satu hantaran di Facebook.
“Doa kami sekeluarga semoga Datuk Seri Bung mendapat kesembuhan segera.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segalanya,” tulisnya.
Anak Bung, Naim Moktar melalui hantaran di Facebook turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai kerana mendoakan kesihatan bapanya.
“Selaku wakil keluarga, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh imam di Lamag yang telah berusaha mengadakan solat hajat serta memohon doa kepada Allah SWT demi kesihatan ayahanda saya.
“Doa dan keprihatinan para imam-imam amat kami hargai dan menjadi sumber kekuatan kami sekeluarga. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda kepada tuan-tuan,” tulisnya.






