
KOTA KINABALU – Kabinet Negeri Perpaduan Sabah yang baharu dibentuk menetapkan komitmen untuk bekerjasama rapat dalam memastikan kemajuan dan kemakmuran negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini berada pada kedudukan kukuh untuk meneruskan agenda pembangunan berdasarkan pencapaian yang direkodkan dalam lima tahun terdahulu.
“Kita mempunyai keupayaan yang kukuh untuk melaksanakan perkara ini, berdasarkan pencapaian pembangunan dan kemajuan yang telah dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lalu.
“Kita bersedia melancarkan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif pada tahun 2026,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Kabinet Negeri di Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kestabilan politik untuk memastikan kesinambungan dasar serta perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
“Dengan pentadbiran baharu ini, saya dan anggota Kabinet akan memperteguh komitmen untuk mengekalkan kestabilan dan mendokong agenda politik berteraskan perpaduan serta pembangunan,” katanya.
Beliau turut berkata bahawa beliau akan terus berkhidmat sebagai ‘Ketua Menteri untuk semua’ tanpa prejudis terhadap latar belakang, kaum atau agama mana-mana pihak.
Pada mesyuarat sama, Hajiji turut mengumumkan senarai 17 Pembantu Menteri yang mengangkat sumpah pada Selasa.
Senarai portfolio adalah seperti berikut:
Jabatan Ketua Menteri
1. Datuk Joniston Bangkuai (GRS)
2. Datuk Isnin Aliasnih (GRS)
3. Datuk Mandela Malakun (GRS)
Kementerian Kerja Raya dan Utiliti
4. Datuk Limus Jury (GRS)
5. Datuk Seri Dr Ruddy Awah (GRS)
Kementerian Kewangan
6. Datuk Ben Chong (GRS)
7. Datuk Ishak Ayub (STAR)
Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan
8. Datuk Jonnybone Kurum (GRS)
Kerajaan Tempatan dan Perumahan
9. Datuk Fairuz Renddan (Bebas)
10. Datuk Maijol Mahap (Bebas)
Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan
11. Datuk Haji Ruslan Muharam (GRS)
12. Datuk Hendrus Anding (GRS)
Pembangunan Luar Bandar
13. Datuk Samad Jambri (GRS)
14. Datuk Juil Nuatim (GRS)
Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi
15. Jordan Jude Ellron (Bebas)
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
16. Dr Andi Rizal (GRS)
Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat
17. Datuk Rina Jainal (Bebas)






