
DALAM satu lagi episod ‘Kerajaan negeri Pas cari kambing hitam’, Terengganu mendakwa Kerajaan Persekutuan membina sekolah dan hospital di atas tanah negeri tanpa menyelesaikan urusan pemilikan. Dakwaan ini kedengaran lantang, penuh dramatik, tetapi seperti biasa — kosong fakta, sarat politik.
Ironinya, bangunan yang disebut – Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) – telah wujud sejak 1985. Berpuluh tahun rakyat menerima rawatan, ribuan nyawa diselamatkan, puluhan ribu anak Terengganu dilahirkan di situ. Tetapi hairannya, baru hari ini 2025 mereka teringat soal ‘pemilikan tanah’?
Apakah selama ini kerajaan negeri terlepas pandang? Atau isu tanah hanya dibangkitkan bila modal politik makin kontang?
Kerajaan negeri Pas cuba menggambarkan seolah-olah Kerajaan Persekutuan ini merompak tanah negeri untuk membina sekolah dan hospital. Hakikatnya:
Setiap negeri WAJIB menyediakan tanah untuk projek Persekutuan.
Mengikut amalan Persekutuan, sekolah, hospital, balai polis, mahkamah dan infrastruktur pusat dibina atas tanah negeri yang diserahkan secara premium nominal kadang-kadang RM10, kadang-kadang percuma.
Ini bukan penindasan. Ini prosedur. Ini perkara biasa sejak Merdeka.
Rakyat negeri yang menerima manfaat, bukan Putrajaya
HSNZ bukan milik kerajaan pusat untuk dipindahkan ke Kuala Lumpur. Sekolah di Chukai bukan hendak dihantar ke Selangor.
Segala kemudahan dari ICU hingga kantin sekolah digunakan oleh rakyat Terengganu sendiri.
Jika benar Pusat ‘ambil tanah tanpa izin’, kenapa tiada tindakan undang-undang?
Kerana dakwaan itu tidak berasas. Titik.
Jika isu tanah ini benar-benar wujud…
Kenapa Pas tak bangkitkan ketika perintah Terengganu tahun 1999–2004?
Kenapa tak bangkitkan ketika 2018–2023 walaupun ada Menteri Besar Pas?
Kenapa masa Kerajaan Persekutuan di bawah PN/MN, Pas senyap seribu bahasa?
Tiba-tiba selepas 2023 bila kerajaan pusat bertukar — barulah muncul naratif:
‘Pusat tak hormat hak negeri.’
Jelas sekali ini bukan isu tanah.
Ini isu modal politik semakin kering.
Daripada terus menuding jari kepada Kerajaan Persekutuan, lebih baik kerajaan negeri selesaikan isu-isu yang memang sah di bawah kuasa mereka:
Isu tanah FELDA yang negeri gagal urus
Ribuan peneroka terabai kerana negeri lambatkan proses geran, tetapi isu itu disapu ke bawah karpet.
Pembalakan dan REE tanah negeri dibuka besar-besaran tanpa manfaat jelas kepada rakyat
Tetapi isu itu senyap.
Projek rumah mampu milik terbengkalai
Dendong, Bukit Gasing, dan bermacam lagi tanah siap, projek hilang.
Isu Batu Rakit runtuh dua kali
Kerajaan negeri salahkan pusat juga?
Pantai tepi rumah rakyat, bukan tepi Jabatan Perdana Menteri.
Nyata sekali, hendak selesaikan masalah sendiri tiada keupayaan, tetapi mencipta masalah yang tak wujud pula sangat cekap.
Fakta besar yang tidak dapat disangkal
Sekolah & hospital persekutuan dibina atas tanah negeri dengan PERSETUJUAN negeri — itu prosedur rasmi.
Dokumentasi biasanya tertangguh kerana negeri lambat luluskan surat hak milik, bukan kerana pusat ‘menceroboh’.
HSNZ wujud sejak 40 tahun — isu ini bukan ‘penemuan baharu’, tetapi drama baharu.
Dakwaan ini adalah episod propaganda untuk menutup kelemahan pentadbiran negeri sendiri.
Kerajaan Negeri Terengganu boleh terus bermain sentimen ‘Pusat menindas negeri Pas’, tetapi rakyat Terengganu tidak bodoh.
Rakyat tahu:
Sekolah anak mereka bukan dibina oleh Pas.
Hospital tempat mereka dirawat bukan dibina oleh Pas.
Jalan persekutuan, lebuh raya, klinik kesihatan semuanya hasil kerjasama kerajaan pusat.
Jika benar kerajaan negeri mahu dihormati, hormatilah rakyat dengan cerita yang jujur, bukan drama politik yang diulang setiap kali gagal menutup kelemahan pentadbiran.
Kerajaan negeri perlu berhenti memainkan taktik lama:
Bila gagal salahkan pusat.
Bila berjaya ambil kredit.
Rakyat Terengganu berhak mendapat lebih daripada sandiwara politik ini.



