
KANGAR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempercepat penilaian bagi memastikan sekolah di Perlis yang rosak akibat banjir besar dapat dibaik pulih sebelum sesi baharu persekolahan bermula.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penilaian segera sedang dilaksanakan di semua sekolah terjejas berikutan banyak kemudahan asas tidak dapat digunakan.
Menurutnya, kerosakan ketara melibatkan bengkel, makmal komputer, dewan sukan serta beberapa ruang pembelajaran di aras bawah bangunan.
Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Changkat Jawi di sini hari ini.
“Penilaian akan dipercepatkan bagi membolehkan kerja baik pulih dimulakan secepat mungkin sebelum sesi persekolahan baharu dibuka.
“KPM turut membuat persiapan rapi menghadapi gelombang kedua banjir melalui koordinasi bersama agensi keselamatan.
“Ops Payung membantu kita dari segi keputusan pemindahan, pembukaan PPS dan memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia tidak terkesan dengan banjir,” ujarnya.

Fadhlina berkata, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan atas oersetujuan sekolah selagi keadaan tidak mengizinkan murid kembali ke premis pendidikan.
Jelasnya, faktor cuaca serta laluan ke sekolah yang masih dinaiki air turut menjadi pertimbangan utama kementerian.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina menghulurkan sumbangan kepada keluarga wartawan Astro Awani, Allahyarham Mohamad Asri Shafii yang meninggal dunia ketika pulang membuat liputan banjir semalam.
Beliau memaklumkan kementerian akan mengambil tanggungjawab memastikan kebajikan anak Allahyarham terus terpelihara.







