
KOTA MARUDU – Zaidi Jatil, calon PH di Bandau, disifatkan sebagai calon yang memenuhi ciri pemimpin berwibawa serta diyakini mampu menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan Perdana Menteri sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17 Sabah).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Zaidi merupakan calon anak muda yang bertenaga, berwibawa dan mempunyai misi yang jelas untuk membangunkan Bandau.
“Kita mahu calon bertenaga, berwibawa dan mempunyai misi untuk membangunkan Bandau.
“Kita mahu calon yang sentiasa berada bersama kita, calon anak Bandau, calon anak muda Bandau.
“Zaidi ini orang yang baik. Saya kenal dia, dia seorang pemimpin muda dia akan berada di sini dan dia akan menjadi jambatan batu antara rakyat dan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap di sesi ceramah kelompok bersama penduduk Kampung Tanjung Batu, di sini pada Rabu.
Jelasnya, Zaidi merupakan calon dari parti Perdana Menteri yang mana menerima watikah pencalonan daripada Perdana Menteri.
Beliau juga menekankan pentingnya sebuah kerajaan negeri yang kukuh serta mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan agenda pembangunan di Sabah, khususnya di Bandau.
Antara isu yang disentuh ialah keadaan Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu yang menempatkan lebih 300 murid namun masih bergantung pada bangunan papan dan bilik darjah kontena.
Fahmi berkata, perkara itu akan dibangkitkan kepada Menteri Pendidikan bagi mempercepatkan usaha penyelesaian demi memastikan masa depan pendidikan anak-anak di kawasan tersebut terus terjamin.
“Kita nak pastikan di negeri tertubuhnya kerajaan yang kuat, yang utuh yang hubungannya baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Dari situ masalah, saya dengar masalah sekolah SK Tanjung Batu 300 orang pelajar, sekolahnya papan ada kontena.
“Tetapi selepas ini saya akan maklumkan kepada Menteri Pendidikan apa yang perlu kita lakukan untuk segera selesaikan beberapa masalah,” ujarnya.








