
KUCHING – Sarawak menegaskan komitmen untuk memanfaatkan sepenuhnya tanah-tanah yang diserahkan kembali oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (FLC) bagi tujuan pembangunan yang memenuhi keperluan rakyat.
Menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh memaklumkan beberapa tanah milik FLC masih belum dibangunkan kerana tiada peruntukan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan, selain kewujudan tanah lain berhampiran yang telah dibangunkan bagi tujuan sama.
Jelas beliau juga merangkap ADUN Kuala Rajang, dalam kawasan DUN Bukit Semuja, satu daripada 64 bidang tanah yang diserahkan kepada Kerajaan terletak di Melikin, iaitu Lot 877, Block 9, Melikin Land District.
“Tanah tersebut diberi milik kepada FLC pada 28 Februari 1974 untuk kegunaan klinik kesihatan,” katanya
Beliau turut menjelaskan bahawa keseluruhan 64 lot tanah yang melibatkan keluasan 62.9 hektar atau 155 ekar telah didaftarkan sebagai tanah Kerajaan pada 1 April 2024 dan 14 November 2025.
Menurut beliau, tanah-tanah itu kini dalam perancangan untuk dibangunkan secara teratur dan berfasa, selaras dengan keperluan semasa kawasan terlibat.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




