
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat secara menyeluruh tohmahan pemberian rasuah yang dikaitkan dengan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, susulan dakwaan yang dibuat seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil individu yang membuat dakwaan berkenaan iaitu Albert Tei serta individu yang dinamakan dalam dakwaan itu dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.
“SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
“Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terbabit bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Azam meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung isu berkenaan dan memberi ruang kepada agensi terbabit menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan dakwaan itu.
Semalam, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul Iskandar dalam kenyataan di platform X berkata, terdapat percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.
Terdahulu, Anwar dalam satu kenyataan hari ini menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar dan menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan luar berhubung tuduhan terhadap bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.
“Saya menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan itu.
Berhubung tuduhan yang timbul, Anwar menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera tanpa sebarang campur tangan luar.
“Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,” ujarnya.




