KUANTAN – Proses untuk membina semula negara perlu dimulakan di peringkat paling bawah, kata Ketua PKR Bandar Triang, Bera, Fong Hoi Cheng.
Beliau yang sebelum ini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkata, menjadi harapan semua lapisan masyarakat untuk kembali bangkit selepas melalui tempoh sukar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Negara ini bertuah kerana tidak selalu diuji dengan bencana alam yang teruk seperti negara jiran yang lain.
“Kesukaran kita adalah akibat ketidakstabilan politik dan pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai hilang punca pendapatan.
“Sekarang kita sedang perlahan-lahan bergerak ke depan dan hasil kerja kuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya percaya kita mampu pulih semula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis di Bandar Triang, dekat Bera, semalam.
Majlis turut dihadiri Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man.
Hoi Cheng dalam masa sama turut memuji langkah reformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Saya fikir langkah melaksanakan reformasi ekonomi ini sangat wajar dan tidak ditumpukan ke kawasan tertentu sahaja.
“Ia boleh dilakukan secara meluas, termasuk di kawasan luar dan pinggir bandar serta kawasan pedalaman.
“Saya percaya polisi diperkenalkan kerajaan hari ini adalah untuk membantu meningkatkan semula ekonomi rakyat secara keseluruhannya,” katanya.







