
TENOM – Proses undi awal Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) hari ini menjadi isyarat jelas komitmen anggota keselamatan, termasuk polis dan tentera, yang tetap hadir seawal pagi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi meskipun sibuk menjaga keselamatan rakyat.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak berkata, proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom berjalan lancar dengan melibatkan seramai 160 pengundi awal.
“Cuaca yang cerah dan baik pagi ini. Saya ingat sebelum pukul 11 habis mengundi,” katanya kepada media selepas selesai mengundi di ruang legar IPD Tenom, pada Selasa.

Mengulas persiapan menjelang hari pengundian pada 29 November nanti, beliau memaklumkan bahawa tugas dan persediaan awal telah disusun rapi bagi memastikan keadaan kekal terkawal dan selamat.
Azmir turut memberi jaminan bahawa keselamatan di daerah Tenom berada pada tahap baik.
“Buat masa ini, Tenom sangat-sangat selamat dan teratur lah. Berkat nasihat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah sendiri dan pegawai-pegawai kami.
“Setakat ini, kita baru ada tiga laporan polis dibuat dan satu dalam siasatan, yang itu pun bukan berkaitan keganasan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pengundi agar pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian nanti.
“Saya menyerulah semua pengundi-pengundi di daerah Tenom ini, sama ada di Melalap dan juga di Kemabong.
”Keluarlah mengundi, suarakan hak tuan-tuan dan puan-puan kepada siapa yang kita mahu sebagai pemimpin dalam negara Malaysia yang demokratik ini.
“InsyaAllah, polis akan menjamin keselamatan,” katanya.

Sementara itu, anggota polis, Mohd Shaari Roslan, 41, meluahkan rasa lega dan gembira selepas selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
“Proses pemilihan di atas memang berjalan lancar. Walaupun kami dalam bangunan kerajaan, tapi kita ikut proses Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
”Kita ikut macam mana yang di luar, kita buat dengan prosesnya sama jugalah,” katanya.
Beliau turut berharap calon pilihannya mampu memberi khidmat terbaik sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat Melalap.
“Saya harap calon yang saya pilih ini dapat memberikan kerjasama ataupun memberikan khidmat kepada penduduk-penduduk Melalap untuk membangunkan dan memberi peluang pekerjaan, sama ada kepada orang kampung ataupun orang luar yang datang ke Melalap,” ujarnya.

Bagi Konstabel Polis, Jed Jarrett Mitchell, 29, proses undi awal hari ini disifatkan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Semua berjalan dengan baik dan lancar. Tiada apa masalah. Semua proses semua bagus, tiada apa masalah,” katanya.
Tambahnya, setakat ini tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku melibatkan calon atau penyokong.
“Semua baik, tiada apa-apa masalah. Tidak macam yang sebelum-sebelum ini, ada masalah. Tapi setakat ini semua baik dan lancar,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan harapannya agar wujud lebih banyak pembangunan dan perubahan ketara di Melalap serta Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang.






