Kerajaan tidak campur tangan dalam siasatan isu dokumen FAM – PMX

KERAJAAN menegaskan bahawa proses siasatan berkaitan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan dijalankan secara telus tanpa sebarang usaha menutup atau melengahkan tindakan, meskipun isu itu mencetuskan perhatian serius di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan melakukan sebarang cubaan untuk menutup hasil siasatan terhadap FAM berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan pemain warisan.

Menurut beliau, kecaman tegas yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap FAM bukan perkara kecil dan harus dipandang serius, selain mengakui isu berkenaan kini menjadi perhatian besar dalam negara.

“Ya, ini isu besar. Kerajaan telah menelitinya, dan tidak akan ada sebarang cubaan menutup kes.

“Saya faham orang ramai tidak sabar dan mahu tindakan segera… mereka kata kita tidak bertindak, tetapi kita mesti biarkan ia melalui proses biasa,” katanya ketika diminta mengulas isu yang melanda FAM.

Anwar turut menyamakan ketidaksabaran orang ramai terhadap skandal FAM dengan video tular berkaitan amalan rasuah yang melibatkan individu tertentu di Sabah.

Beliau berkata, terdapat dakwaan sama bahawa kerajaan melengah-lengahkan tindakan terhadap mereka yang dituduh, sedangkan proses sewajarnya perlu dipatuhi sebelum tindakan boleh diambil.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan bahawa pembangunan bakat tempatan adalah pilihan terbaik untuk kemajuan sukan bola sepak negara berbanding bergantung kepada pemain naturalisasi. Bagaimanapun, beliau mengakui wujud tekanan daripada peminat sukan yang menginginkan keputusan segera.

“Saya juga peminat sukan… secara idealnya, kita perlu membangunkan bakat tempatan dan kita telah menyalurkan dana untuk tujuan ini, tetapi ia akan mengambil masa untuk mendapatkan hasil yang diinginkan semua,” katanya ketika ditemui media dalam pesawat menuju ke Johannesburg, Afrika Selatan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan dengan memecat ahli jawatankuasa FAM kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan masalah lebih besar dengan FIFA.

Terdahulu, FIFA menegur keras FAM selepas jawatankuasa rayuannya mengekalkan hukuman terhadap badan induk itu dan mengarahkan siasatan rasmi terhadap proses dalaman FAM.

Kes tersebut berkaitan dokumen palsu yang dikemukakan bagi tujuh pemain warisan, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Penyiasat FIFA mendapati dokumen yang dihantar FAM mendakwa datuk atau nenek pemain berkenaan dilahirkan di wilayah Malaysia, namun rekod sivil dari Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda menunjukkan semua tujuh sebenarnya dilahirkan di luar negara.

Jawatankuasa rayuan turut menolak dakwaan FAM dan pemain bahawa mereka bertindak dengan niat baik.

Pada September lalu, jawatankuasa tatatertib FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) terhadap FAM.

Ketujuh-tujuh pemain terbabit pula masing-masing didenda CHF2,000 (RM10,600) dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Related Posts

Bekalan minyak negara masih mencukupi, RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter- PM

BUKIT MERTAJAM – Bekalan petrol dan diesel negara masih mencukupi ketika ini meskipun konflik di Asia Barat dan keadaan ekonomi global memberi tekanan terhadap rantaian bekalan tenaga dunia, kata Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan akan ambil langkah drastik sedia pekerjaan alternatif

SEBERANG PERAI – Kerajaan sedang mengambil langkah drastik bagi memperbaiki tahap pasaran pekerjaan di negara ini sekali gus komited menyediakan pekerjaan alternatif susulan laporan isu kehilangan pekerjaan membabitkan seramai 7,057…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kes tikam ibu tunggal, ejen hartanah diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Kes tikam ibu tunggal, ejen hartanah diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Bekalan minyak negara masih mencukupi, RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter- PM

Bekalan minyak negara masih mencukupi, RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter- PM

Polis siasat hantaran Facebook berbaur provokasi kaum, agama

Polis siasat hantaran Facebook berbaur provokasi kaum, agama

Kerajaan akan ambil langkah drastik sedia pekerjaan alternatif

Kerajaan akan ambil langkah drastik sedia pekerjaan alternatif

Kecurian 100 meter kabel jejas sistem semboyan, operasi ETS dan KTM Komuter Utara tergendala

Kecurian 100 meter kabel jejas sistem semboyan, operasi ETS dan KTM Komuter Utara tergendala

PKR susun semula jentera pilihan raya, Amirudin dan Saifuddin diberi peranan utama

PKR susun semula jentera pilihan raya, Amirudin dan Saifuddin diberi peranan utama