KUANTAN – Pahang akan melaksanakan pembinaan rumah teres untuk projek PR1MA Pahang bermula tahun depan sebagai langkah memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan fasa baharu itu membabitkan penyusunan semula reka bentuk dan keluasan tanah rumah teres PR1MA Pahang, selari dengan keadaan semasa.
Menurutnya, sebelum ini sebahagian rumah PR1MA Pahang dibina di atas lot yang luas sehingga kelihatan seperti rumah banglo, namun konsep itu perlu disesuaikan bagi membolehkan lebih banyak unit kediaman dibina tanpa menaikkan kos.
“Rumah teres PR1MA Pahang yang akan dibina nanti tidak lagi seperti dahulu dengan keluasan tanah yang terlalu besar.
“Keluasan lot akan diselaraskan supaya lebih banyak unit dapat dibangunkan dan lebih ramai rakyat dapat menikmati peluang memiliki rumah.
“Ada rasionalnya tanah dikecilkan sedikit – yang penting kos rumah tidak meningkat dan kekal dalam kategori mampu milik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Sanggang dan Majlis Pelancaran PR1MA Pahang Pamah Kaseh serta PR1MA Pahang Kampung Sempadan di tapak Perumahan PR1MA Pahang Sanggang, di Temerloh, hari ini.
Wan Rosdy berkata, cadangan penyesuaian keluasan tanah itu dikemukakan pemaju dan diteliti bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) bagi memastikan kualiti binaan tidak terjejas serta susun atur kawasan perumahan kekal selesa.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga menitikberatkan soal pemilihan pemaju yang berwibawa dan mempunyai rekod prestasi baik bagi mengelakkan berulangnya isu projek perumahan terbengkalai.
“LPHP dan Exco Perumahan negeri amat berhati-hati memilih pemaju. Hanya pemaju yang kukuh, berpengalaman dan mempunyai rekod projek siap dengan baik akan diberi tanggungjawab.
“Kita tidak mahu pembeli rumah menjadi mangsa projek terbengkalai. Sebab itu rekod pemaju akan dinilai dengan teliti sebelum sebarang kelulusan diberikan,” tegasnya.



