Malaysia sedia buka akses eksport ayam, sarang burung, makanan ternakan ke Ethiopia

ADDIS ABABA – Malaysia bersedia membuka akses eksport produk seperti ayam, sarang burung dan makanan ternakan ke Ethiopia selain menawarkan kepakaran penanaman sawit dan benih berkualiti, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya turut menyarankan semakan kadar tarif import ke atas produk sawit Malaysia yang semakin mendapat tempat di pasaran Ethiopia,” kata Perdana Menteri selepas pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali semalam.

Anwar juga berkata, mereka sepakat memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan serta pendidikan latihan teknikal dan vokasional dan penyelidikan.

Di samping itu, katanya, Malaysia juga akan terus menyokong agenda reformasi ekonomi Ethiopia melalui Malaysian Technical Cooperation Program.

“Kami memperteguh tekad untuk membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, lapor Bernama .

Beliau berkata, Malaysia menyambut baik kemajuan termasuk persetujuan memulakan mekanisme rundingan berkala dan pelbagai inisiatif memperluas ruang kerjasama antara rakyat, pembangunan bersama dan keterhubungan antara kedua-dua negara.

“Saya turut menekankan potensi besar dalam kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, industri halal, keselamatan siber, serta peluang baharu melalui rangka MoU antara dewan perniagaan kedua-dua negara.

“Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan lebih aktif syarikat Ethiopia dalam misi dagangan dan padanan perniagaan,” jelasnya lagi.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Ethiopia terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS dan mengucapkan tahniah atas pemilihan negara berkenaan sebagai tuan rumah COP32 pada 2027, yang merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kepimpinan mereka dalam agenda hijau global.

“Saya yakin kerjasama Malaysia dan Ethiopia akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat serta masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing,” kata Perdana Menteri yang menyifatkan pertemuan dua hala berkenaan sebagai ‘sarat dan penuh bermakna’.

Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduk di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2024 dan menjadi negara pertama dikunjungi Anwar dalam rangka lawatan beliau ke benua itu.

Related Posts

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM

SUNGAI PETANI – Semua universiti termasuk institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu mewujudkan jabatan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang tersebut. Perdana Menteri, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan perlu diutamakan – PM

SUNGAI PETANI – Perdebatan politik di Johor dan Negeri Sembilan seharusnya tertumpu kepada keadilan dan peluang sama rata, bukan retorik perkauman atau politik perpecahan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

SMK Saribas ungguli Perarakan Gawai Dayak Betong 2026

SMK Saribas ungguli Perarakan Gawai Dayak Betong 2026

Banjaran Nakawan aset strategik negara, bukan sekadar hutan – Raja Perlis

Banjaran Nakawan aset strategik negara, bukan sekadar hutan – Raja Perlis

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM

‎Ruji Ubi dilantik Setiausaha PH Sabah dalam penstrukturan semula kepimpinan

‎Ruji Ubi dilantik Setiausaha PH Sabah dalam penstrukturan semula kepimpinan

Pengunduran Marina tidak jejaskan sokongan Melayu kepada DAP

Pengunduran Marina tidak jejaskan sokongan Melayu kepada DAP

Keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan perlu diutamakan – PM

Keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan perlu diutamakan – PM