Gardenia, maruah Sabah dan kebodohan politik

DALAM politik Malaysia, selalu ada detik-detik kecil yang akhirnya menjadi simbol besar. Kadangkala ia bukan skandal, bukan rasuah berbilion, bukan pun drama pengkhianatan, tetapi hanya satu baris ayat yang merembes keluar dari mulut seorang pemimpin. Ayat itulah yang menelanjangkan sikap sebenar kuasa terhadap rakyat.

Begitulah halnya dengan isu ‘Gardenia’ yang meletup dalam atmosfera politik Sabah beberapa hari ini. Satu kenyataan dari seorang Exco Kedah, Mansor Zakaria kononnya sekadar perbandingan politik dalam Dewan Negeri, akhirnya membongkar satu perkara yang lebih besar daripada sekadar roti: bagaimana sesetengah pemimpin di Semenanjung masih melihat Sabah dan Sabahan sebagai entiti yang boleh dipujuk, dibeli, dan disenyapkan dengan benda yang remeh. Tiada simbol yang lebih sinis daripada roti.

Mungkin bagi sesetengah orang, kenyataan “bagi Gardenia pun cukup” sekadar gurauan. Tetapi di Sabah, gurauan yang tidak kelakar seperti itu bukan sahaja tidak mempunyai sebarang unsur humor, malah ianya menggores maruah.

Reaksi segera datang bukan sahaja daripada pemimpin politik tempatan, tetapi juga dari rakyat dan masyarakat perniagaan sendiri. Dexter Lau, Pengarah Gardenia Bakeries (East Malaysia), mengingatkan bahawa kata-kata seorang pemimpin bukan sekadar bunyi yang terbang di udara. Ia ada beban sejarah, beban emosi, dan beban politik.

Sabah sudah lama berhadapan dengan stereotaip bahawa mentaliti pengundinya ‘murah’, boleh digula-gulakan dengan hadiah kecil, hamper, atau bantuan yang dijanjikan sekali lima tahun. Kenyataan Gardenia ini akhirnya melontarkan semula persepsi itu ke tengah pentas nasional.

Bagi mereka yang benar-benar turun ke kampung pedalaman, bertemu jentera tempatan, atau berbual dengan pengundi-pengundi asli Sabah, anda akan tahu: orang Sabah tidak marah kerana roti, tetapi rakyat di bawah bayu ini marah kerana dipandang rendah.

Krisis roti Gardenia ini sebenarnya bukan tentang makanan. Ia tentang bahasa politik — bahasa yang mencerminkan bagaimana pemimpin melihat rakyat. Ia juga mencerminkan betapa jauhnya sebahagian pemain politik di Semenanjung daripada memahami struktur sosial Sabah. Ada pemimpin politik Semenanjung fikir mereka boleh turun dua tiga hari, beri janji pembangunan, hulur cenderahati, dan balik dengan keyakinan bahawa undi akan memihak kepada mereka.

Tetapi politik Sabah hari ini tidak lagi begitu.

Sebahagian besar pengundi, terutama generasi muda, apatah lagi kedatangan baharu 32 peratus pengundi kritikal yang bakal mengundi kali pertama — celik isu.

Mereka mengikuti perkembangan politik nasional, membaca secara kritikal, dan tahu membezakan antara bantuan jujur dengan strategi memancing undi.
Sebab itu reaksi rakyat Sabah terhadap isu Gardenia bukan semata-mata emosi. Ia adalah penegasan diri seperti, “kami bukan pengundi kelas kedua. Kami tidak boleh dibeli. Kami ada maruah.”

Menariknya, isu ini tidak meledak besar di TikTok atau X seperti isu-isu viral lain. Tidak ada hashtag trending besar, tidak ada video berjuta tontonan. Tetapi diam-diam, ia berjalan di lapangan. Ia dibincang dalam group WhatsApp keluarga dan komuniti. Ia dibualkan dalam ceramah kecil. Ia ditangkap oleh pemimpin tempatan dan dijadikan bahan naratif.

Di Sabah, politik tidak semestinya ‘virality’. Ia adalah emosi kolektif yang bergerak perlahan tetapi dalam. Dan isu Gardenia menyediakan peluru, bukan kepada rakyat, tetapi kepada calon-calon Sabah sendiri untuk menuntut sesuatu yang sudah lama diperkatakan: “…jangan hina kami.”

Dimensi maruah yang lebih dalam

Dalam konteks PRN17 Sabah, kenyataan ini mungkin tidak menjatuhkan kerajaan atau mengubah landskap parti secara drastik. Tetapi ia ada implikasi tertentu.

Calon daripada Perikatan Nasional yang terkait dengan Mansor akan berdepan kesukaran menjelaskan diri sama ada dalam kempen bersemuka, pentas ceramah atau media sosial. Pakatan politik yang dilabel sebagai ‘parti Malaya’ perlu lebih berhati-hati. Ini juga memberi peluang kepada parti-parti tempatan seperti GRS atau Warisan untuk memainkan naratif maruah.

Akhirnya, isu Gardenia ini membuka satu cermin besar kepada kita: betapa mudahnya pemimpin politik merendahkan rakyat hanya kerana mereka jauh, berbeza budaya, atau dianggap ‘boleh dibentuk’.

Ia mengingatkan kita bahawa maruah pengundi Sabah bukan untuk dipermain.
Bukan dengan projek.
Bukan dengan janji kosong.
Dan sudah tentu — bukan dengan roti.

Dan sesiapa yang masih berfikir bahawa mereka boleh menang dengan mentaliti Gardenia — mereka bukan sahaja tidak memahami Sabah, mereka tidak memahami politik baharu Malaysia.

*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM

SUNGAI PETANI – Semua universiti termasuk institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu mewujudkan jabatan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang tersebut. Perdana Menteri, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan perlu diutamakan – PM

SUNGAI PETANI – Perdebatan politik di Johor dan Negeri Sembilan seharusnya tertumpu kepada keadilan dan peluang sama rata, bukan retorik perkauman atau politik perpecahan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Enam sekeluarga termasuk bayi maut, SUV bertembung lori tanah

Enam sekeluarga termasuk bayi maut, SUV bertembung lori tanah

Bukan DAP arah Aminuddin bubar DUN, itu keputusan konsensus pimpinan tertinggi PH

Bukan DAP arah Aminuddin bubar DUN, itu keputusan konsensus pimpinan tertinggi PH

PRN Johor penentu kebangkitan BN, Zahid yakin ‘Gelombang Biru’ kembali warnai negara

PRN Johor penentu kebangkitan BN, Zahid yakin ‘Gelombang Biru’ kembali warnai negara

SMK Saribas ungguli Perarakan Gawai Dayak Betong 2026

SMK Saribas ungguli Perarakan Gawai Dayak Betong 2026

Banjaran Nakawan aset strategik negara, bukan sekadar hutan – Raja Perlis

Banjaran Nakawan aset strategik negara, bukan sekadar hutan – Raja Perlis

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM