
KERAJAAN Persekutuan memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil kepada Sabah seperti yang diperuntukan Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri bersama Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang berlangsung hari ini.
“Sehubungan itu, kerajaan persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama kerajaan Sabah dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid mengisytiharkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,’ serta melanggar Perlembagaan.






