
KOTA KINABALU – Saksi kanak-kanak ke-32 hari ini memaklumkan mahkamah yang arwah Zara Qairina Mahathir pernah memberitahu bahawa dirinya diganggu oleh seorang pelajar perempuan ‘tomboy’ di sekolah menengah.
Perkata itu dimaklumkan saksi dalam prosiding inkues kematian Zara hari ke-35 di hadapan Hakim Koroner, Shah Amir Hassan.
Menurut kenyataan bersama peguam ibu Zara, saksi berkata, Zara memberitahu pelajar perempuan ‘tomboy’ itu terlalu obses dengan Zara.
“Hingga melakukan perbuatan tidak senonoh seperti mencium kemaluannya semasa Zara tidur dan hampir ikut Zara mandi sekali dalam bilik yang sama.
“Selain itu, saksi juga memaklumkan bahawa pada bulan Jun 2025, Zara telah menggunakan akaun TikTok milik saksi untuk menghantar mesej kepada seseorang yang tidak dikenali dengan tujuan menasihati individu tersebut supaya tidak mengganggu Zara di sekolah dan di akaun TikTok miliknya,” katanya di sini, pada Isnin.
Jelasnya, saksi berkata, sepanjang persahabatan mereka, dia menyedari Zara seorang yang mudah cemburu, sebagai contohnya sekiranya saksi rapat dengan orang lain.





