PUTRAJAYA – Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) kekal berpandangan bahawa rokok – sama ada dijual secara sah mahupun seludup – adalah produk memudaratkan kesihatan dan dilarang keras dari sudut Islam.
Bendahari Kehormat PERDIM, Dr Shah Reza Khelikuzaman berkata, isu harga bukan alasan untuk ‘menghalalkan’ tabiat merokok kerana setiap sedutan membawa risiko penyakit kronik, kerosakan organ dan kematian pramatang.
“Dari perspektif Islam, segala amalan yang membawa mudarat kepada diri dan masyarakat adalah haram.
“Perkara ini secara jelas disebut dalam firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195: ‘Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan’,” tegasnya.
Beliau juga memaklumkan, PERDIM menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk promosi, penjualan atau pengedaran rokok – termasuk rokok seludup – yang disifatkan sebagai ancaman kepada kesihatan awam dan kestabilan sosial.

Katanya, trend memilih rokok seludup kerana harga lebih murah bukan sekadar masalah penguatkuasaan, tetapi turut mencerminkan krisis nilai dan tanggungjawab terhadap diri serta masyarakat.
“Justeru, PERDIM menyeru agar pendekatan membanteras isu ini tidak hanya bergantung kepada undang-undang, sebaliknya digerakkan melalui pendidikan moral, kesedaran agama dan nilai tanggungjawab terhadap kesihatan kesihatan kendiri.
“Kesihatan adalah ibadah. Mendidik umat agar memahami tanggungjawab menjaga tubuh badan sebagai amanah Allah SWT lebih berkesan dalam jangka panjang,” tambahnya.
Dalam usaha membanteras penjualan rokok seludup, Dr Shah Reza menggesa satu kolaborasi digerakkan membabitkan NGO kesihatan Islam, pihak kerajaan dan agensi penguatkuasaan.
Inisiatif seperti program dakwah kesihatan, ceramah komuniti dan kempen ‘Masjid Sihat’ dicadangkan sebagai platform menyampaikan mesej bahaya rokok berdasarkan ajaran Islam dan sains moden.
“Kita di PERDIM turut menekankan peranan doktor sebagai barisan hadapan dalam menukar persepsi masyarakat bahawa rokok seludup bukanlah alternatif murah, malah lebih berbahaya kerana tidak dikawal kandungannya dan berisiko tinggi mengandungi bahan toksik tambahan.
“Sebagai langkah jangka panjang, kami mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan Pelan Keluar Merokok Nasional yang berasaskan pendekatan psikologi, rohani dan komuniti, di samping memperketat kawalan import serta penguatkuasaan undang-undang,” jelasnya.
Beliau menambah, langkah paling berani boleh dilakukan kerajaan adalah menghentikan sepenuhnya penjualan rokok dan produk seumpamanya di Malaysia, sebagaimana larangan terhadap ganja dan vape.
Walaupun menyedari cadangan itu mungkin mengundang kecaman, PERDIM menjelaskan bahawa menjaga nyawa dan kesihatan rakyat mesti diutamakan.





