
SERIAN – Suasana di Kampung Munggu Kopi, Serian, baru-baru ini dipenuhi dengan semangat kesukanan dan perpaduan apabila berlangsungnya perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan tuan rumah, Munggu Kopi FC, dan Zon Kasidi, Kampung Pichin, pada 2 November lalu di padang bola sepak Kampung Munggu Kopi.
Program yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot, yang meluangkan masa hujung minggunya untuk bersama masyarakat akar umbi.
Kehadiran beliau bukan sahaja menyuntik semangat kepada para pemain, malah menyerikan suasana perlawanan dengan sorakan dan sokongan kepada kedua-dua pasukan yang beraksi penuh semangat di padang.
“Aktiviti sebegini amat penting kerana ia bukan sahaja memperkukuh silaturahim antara penduduk kampung, malah menjadi platform untuk membina semangat kerjasama dan perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.
Menurut beliau, sukan merupakan medium berkesan dalam menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia dan komuniti setempat.
“Program seperti ini memberi peluang untuk kita bersama rakyat dalam suasana santai, sambil memahami keperluan serta aspirasi mereka. Ia juga menjadi ruang untuk menghargai usaha penduduk dalam memupuk perpaduan melalui aktiviti sukan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Richard memaklumkan bahawa beliau akan berangkat ke Kuala Lumpur esok bagi menghadiri Persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung sehingga 4 Disember ini.
Katanya, persidangan itu menjadi platform penting untuk membahaskan isu pembangunan dan kesejahteraan rakyat, termasuk dasar-dasar kerajaan yang memberi impak langsung kepada masyarakat luar bandar seperti di Serian.
“Saya komited untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat Serian di peringkat parlimen agar suara masyarakat luar bandar terus didengar dan diberikan perhatian sewajarnya,” tambah beliau.
Foto : Facebook Dato’ Richard Riot



