PUTRAJAYA – Isu kegagalan berulang perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukan sekadar masalah teknikal atau operasi semata-mata, namun perlu dilihat dari sudut tadbir urus, pengurusan kontrak serta ketelusan dalam perolehan dan penyelenggaraan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata ,kegagalan memastikan sistem yang stabil selepas tempoh pelarasan menimbulkan persoalan sama ada terdapat kelemahan dalam proses penilaian vendor, pelantikan kontraktor atau pemantauan dalaman oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB)
Beliau berpandangan, terdapat keperluan agar hasil siasatan diumumkan kepada masyarakat awam bagi menjamin ketelusan serta mengelakkan persepsi campur tangan atau perlindungan terhadap mana-mana pihak.
“Sekiranya terbukti berlaku pelanggaran syarat lesen atau kecuaian serius, tindakan kompaun maksimum atau penstrukturan semula pengurusan perlu dipertimbangkan.
“Sebagai pengendali utama lapangan terbang negara, MAHB mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan selamat, cekap dan berintegriti.
“Gangguan berulang bukan sahaja menjejaskan imej negara di mata pelancong antarabangsa, tetapi juga membebankan pengguna serta menimbulkan implikasi ekonomi yang serius,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP).

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Pengangkutan (MoT) mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap MAHB selaku pengendali perkhidmatan aerotrain.
Tindakan itu susulan kejadian terbaharu gangguan perkhidmatan tersebut pagi semalam yang menyebabkan para penumpang terpaksa meredah laluan pejalan kaki pada keadaan gelap sambil membawa bagasi.
Dalam pada itu, Jais menyeru semua syarikat milik kerajaan (GLC) mengambil iktibar daripada kes itu yang mana reputasi dan kepercayaan rakyat bergantung kepada integriti dan ketelusan dalam menguruskan khazanah awam.
Menurutnya, kegagalan memastikan standard terbabit hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur serta mencalar aspirasi Malaysia sebagai negara berintegriti dan berdaya saing
“MCW menyambut baik tindakan tegas Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, yang telah mengarahkan APAD membuka kertas siasatan terhadap MAHB berhubung gangguan berulang perkhidmatan Aerotrain di KLIA.
“Tindakan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tahap akauntabiliti korporat dan kebertanggungjawaban awam dipatuhi sepenuhnya oleh GLC yang menguruskan aset strategik negara,” katanya.





