
TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) memuji peranan aktif Malaysia dalam memperkukuh integrasi antara negara anggota ASEAN yang dilihat mampu memacu pertumbuhan ekonomi serantau ke arah lebih mampan dan berdaya saing.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, IMF turut mengiktiraf ASEAN sebagai sebuah rantau yang mempunyai potensi besar serta menunjukkan perkembangan positif dari semasa ke semasa.
“Daripada maklum balas yang kita dapat daripada IMF, ASEAN adalah satu rantau yang ada banyak potensi dan telah berkembang dengan baik,” katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, yang turut dihadirinya.
Menurut Amir Hamzah, IMF melihat Malaysia berjaya memainkan peranan yang baik dalam mengeratkan hubungan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Kalau hubungan itu lebih baik, lebih integrasi, insyaAllah ekonomi kita akan berkembang dengan baik,” katanya.
Mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri dan Georgieva itu berlangsung selama kira-kira 25 minit.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.






