
SARATOK – Tiga lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi khas membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah yang dijalankan oleh Pasukan Task Force Op Tapis Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di kawasan hutan Jalan Roban Lama pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi yang dijalankan dari 2 petang hingga 11 malam itu dilaksanakan dengan bantuan Unit MPV STK 102.
“Bertindak atas maklumat awam, pasukan kami melakukan serbuan di kawasan hutan Jalan Roban Lama yang dipercayai menjadi lokasi kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.
“Hasil serbuan, tiga lelaki tempatan berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, semasa serbuan dijalankan, polis menemui sebuah pondok di kawasan hutan berkenaan yang dijadikan tempat menagih dan mengedar dadah.
“Pondok itu dipercayai sering menjadi lokasi penagih mendapatkan bekalan. Kami telah memusnahkannya bagi mengelakkan kawasan tersebut terus disalahgunakan,” ujarnya.
Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Saratok untuk ujian saringan air kencing, dan hasil ujian menunjukkan kesemua mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Siasatan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan tindakan lanjut sedang dijalankan.

Mathew menegaskan, pihak polis akan terus memperhebatkan pelaksanaan Op Tapis Khas dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini dapat dibanteras sepenuhnya.
“Polis menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Kerjasama orang awam amat penting bagi membantu pihak berkuasa mengekang gejala ini demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.
Foto: IPD Saratok



