KANGAR – Angkatan Muda Harapan (AMH) Perlis memberi amaran bahawa rakyat boleh hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negeri sekiranya pemimpinnya terus mengelak daripada menjawab isu besar yang menyentuh maruah institusi diraja.
Ketuanya, Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad berkata, amaran itu merujuk kepada penularan satu rakaman audio mirip suara Menteri Besar Perlis yang mengandungi kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi Raja Perlis.
Katanya, rakyat kini mempersoalkan sikap berdiam diri Menteri Besar yang dilihat seolah-olah cuba melarikan diri daripada tanggungjawab moral dan politik.
“Rakyat bukan marah kerana politik, tapi kerana maruah negeri. Bila rakyat boleh dengar audio itu tapi pemimpin kata belum dengar, itu tanda kelemahan, bukan kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook di sini hari ini.
Menurutnya, pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat sepatutnya tampil mempertahankan Raja dan menjawab secara terbuka bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri.
“Kalau betul bukan suara beliau, nafikan dengan tegas. Kalau tidak, ia menunjukkan ketakutan dan kekeliruan yang boleh menjejaskan imej Kerajaan Negeri sendiri.
“Rakyat boleh menilai kejujuran seseorang pemimpin berdasarkan cara mereka menjawab tuduhan, bukan dengan alasan berulang seperti ‘belum dengar’ atau ‘belum sempat’.
“Jawatan bukan sekadar pangkat, ia amanah. Kalau amanah pun gagal dijaga, rakyat berhak menuntut perubahan,” ujarnya.
Ahmad Fadhzil menegaskan, dalam politik, bukan fitnah yang menjatuhkan pemimpin, sebaliknya cara mereka berdepan fitnah itu yang menentukan sama ada mereka masih layak dipanggil pemimpin.






