
MIRI – Cadangan Kerajaan MADANI untuk melarang penggunaan telefon pintar di sekolah bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang seimbang serta terancang.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Miri, Christopher Jemat Amie, walaupun langkah tersebut penting bagi memastikan keselamatan dan disiplin pelajar, telefon pintar juga memainkan peranan besar sebagai alat pembelajaran dalam era digital masa kini.
“Keselamatan dan disiplin pelajar perlu diberi perhatian serius, namun pada masa sama, kita tidak boleh menafikan kepentingan telefon pintar dalam membantu proses pendidikan.
“Ia membolehkan pelajar mengakses maklumat, idea dan bahan pembelajaran secara pantas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, pelaksanaan dasar berkenaan wajar melibatkan kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), guru, ibu bapa dan komuniti agar matlamat keselamatan tidak mengabaikan peluang pembelajaran digital.
“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, kita dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, progresif dan berdaya saing.
“Didik anak muda untuk bijak menggunakan teknologi, bukan sekat potensi mereka,” tambahnya.






