SG4 gagal urus tapi jaja impian RM500 sebulan

“KALAU negeri sendiri pun gagal diurus, bagaimana mahu urus negara?”

Itulah persoalan yang kini bergema di akar umbi selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengumumkan janji baru Perikatan Nasional (PN) untuk menggantikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan skim baharu Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bernilai RM500 sebulan kepada setiap isi rumah.

Janji yang kedengaran lunak ini, hakikatnya hanyalah umpan politik berperisa populisme murahan, datang daripada blok pembangkang yang kini terbukti gagal mengurus empat negeri di bawah pentadbiran mereka Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4).

Janji RM500 sebulan, tapi negeri sendiri hidup atas ehsan Persekutuan

Menurut rekod Kementerian Kewangan, lebih 80 peratus hasil tahunan negeri-negeri SG4 datang daripada pemberian Kerajaan Pusat.
Dalam erti lain, tanpa dana MADANI, negeri-negeri di bawah PN tidak mampu bertahan.

Bagaimana mungkin sebuah gabungan politik yang gagal menampung belanjawan sendiri berani menjanjikan RM6,000 setahun kepada jutaan rakyat Malaysia?

Janji itu sahaja sudah menelan hampir RM48 bilion setahun satu angka yang menyamai gabungan bajet Kementerian Pendidikan dan Kesihatan.

Di Kedah, hutang air mencecah ratusan juta ringgit; di Kelantan, rakyat masih mandi dengan air keruh; di Terengganu, pelabur lari dan projek terbengkalai; di Perlis, kadar pengangguran belia kekal tertinggi.

Inikah negeri contoh yang mahu memimpin negara dengan skim tunai tanpa sandaran?

BPN: Bantuan atau candu politik?

Hamzah mendakwa BPN lebih ‘adil’ dan ‘fleksibel’ kerana penerima bebas berbelanja tanpa sekatan.

Namun, Kerajaan MADANI telah memperkenalkan SARA dengan mekanisme kawalan supaya bantuan digunakan untuk keperluan asas seperti beras, minyak, susu dan ubat.

Apabila seorang Ahli Parlimen bertanya: “Kalau duit itu digunakan untuk beli rokok?” Hamzah hanya menjawab: “Rakyat tahu guna wang dengan betul.”

Jawapan yang longgar, mencerminkan betapa PN tidak memahami tanggungjawab fiskal dan sosial.

Inilah perbezaan antara bantuan yang mendidik rakyat dan janji yang menidurkan rakyat.

Kerajaan MADANI memilih pendekatan berstruktur, PN memilih populariti segera.

Rakyat SG4 hidup atas bantuan MADANI, tapi menyumpah Kerajaan Pusat

Ironinya, statistik menunjukkan kadar penebusan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tertinggi datang dari negeri SG4 sendiri.

Rakyat yang sama menolak Kerajaan MADANI, ialah rakyat yang paling aktif menebus bantuan MADANI setiap kali bantuan diagih.

Mereka menikmati subsidi petrol BUDI MADANI, bantuan tunai SARA, dan pelbagai inisiatif pusat — tetapi pemimpin mereka di pentas politik menuduh kononnya ‘kerajaan Pusat zalim’.

Kata orang, tangan yang menyuap janganlah digigit.

Namun begitulah budaya politik PN: menerima bantuan dengan tangan kanan, dan menyerang dengan tangan kiri.

Realiti SG4: Janji banyak, hasil kosong

Negeri-negeri SG4 kini jadi lambang kegagalan tadbir urus.

Bila kerajaan negeri tidak mampu membayar hutang air, tidak mampu tarik pelabur, dan tidak mampu menambah hasil negeri
mereka menutup kelemahan dengan janji manis yang tak berpijak di bumi nyata.

RM500 sebulan mungkin kedengaran hebat di atas pentas ceramah, tetapi rakyat SG4 tahu tiada janji yang mampu menurunkan tarif air, menurunkan kadar pengangguran atau membina kilang baharu.

MADANI bekerja, PN berjanji

Kerajaan MADANI sudah membuktikan bahawa bantuan boleh disalurkan secara bertanggungjawab.

Program SARA, BUDI MADANI, eMADANI dan Rahmah Kasih Sayang bukan sekadar slogan, tetapi realiti yang dirasai oleh 22 juta rakyat Malaysia.

Sedangkan PN masih menjaja nostalgia lama Bantuan Prihatin Nasional nama yang digunakan semasa mereka memerintah ketika pandemik, tetapi kini dibungkus semula dengan janji kosong tanpa pelan ekonomi kukuh.

Janji RM500 takkan boleh cuci air Kelantan

Rakyat tidak lagi lapar dengan janji — mereka mahukan hasil.

Apa guna RM500 sebulan kalau bil air naik setiap tahun?

Apa guna bantuan tunai kalau pelabur lari dari negeri sendiri?

Apa guna slogan prihatin kalau negeri terus hidup atas ihsan Kerajaan Pusat?

SG4 kini bukan contoh kejayaan Islamik seperti yang dilaungkan
ia adalah simbol kegagalan ekonomi, pentadbiran dan integriti.

Dan bila poket kosong, janji jadi ubat tapi ubat itu hanya menidurkan rakyat, bukan menyembuhkan negara.

Related Posts

SOP pastikan ibadah korban lebih selamat dan terkawal perlu dilaksana secara pragmatik

AIDILADHA sentiasa membawa suasana penuh makna kepada umat Islam apabila masjid, surau dan kawasan kejiranan kembali hidup dengan pelaksanaan ibadah korban selain memperlihatkan semangat kebersamaan serta gotong-royong masyarakat dalam menghidupkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PN retak dari dalam: Kenyataan Bersatu dedah perebutan kuasa makin kritikal

KENYATAAN media rasmi Biro Politik Bersatu pada 24 Mei 2026 dilihat bukan lagi sekadar penjelasan terhadap kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tetapi menjadi petunjuk paling jelas bahawa…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar