KUANTAN – Kempen ‘Infaq Jumaat CSP RM10’ yang dilaksanakan Pertubuhan Sokongan Pesakit Kanser Kuantan Pahang (Cancer Support Pahang – CSP) mendapat sambutan menggalakkan sejak hampir empat tahun lalu.
Inisiatif ini diuar-uarkan setiap hari Jumaat melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook dan kumpulan WhatsApp, bertujuan mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser di sekitar Kuantan dan kawasan lain di Pahang.
Pengerusi dan Pengasas CSP, Zaridah Hashim berkata, sumbangan bermula RM10 setiap minggu itu telah banyak membantu menampung kos rawatan, pengangkutan, serta keperluan harian pesakit memerlukan.
“Walaupun jumlah sumbangan kecil, namun apabila digerakkan secara berterusan dan bersama, ia memberi impak besar kepada komuniti pesakit kanser yang memerlukan perhatian dan sokongan moral,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyertai inisiatif murni ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun rasmi Maybank: 556169255136 atas nama Pertubuhan Sokongan Pesakit Kanser Kuantan Pahang (CSP).
Selain menyediakan khidmat sokongan kepada pesakit kanser di Pahang, CSP juga membina sistem sokongan khusus bagi memberi motivasi kepada penghidap kanser dan ahli keluarga mereka.



