PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke pramesyuarat Majlis Raja-Raja ke-270 di Istana Negara, hari ini.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Majlis Raja-Raja ke-270 akan dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim, selaku wakil rasmi Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja akan berlangsung dua hari bermula esok di Istana Negara.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyembah maklum beberapa perkembangan semasa kepada Majlis Raja-Raja, termasuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada akhir bulan ini, ketika dipanggil menghadap di Istana Negara, pagi tadi.
Anwar berkata, beliau turut menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja mengenai kehadiran Donald Trump dan pendirian Malaysia mengenai cadangan perdamaian Gaza yang dipelopori Presiden Amerika Syarikat itu.








