HAI MANDAK! gerak kempen ‘Anak Sabah Balik Mengundi’

KOTA KINABALU – Sebuah kumpulan anak muda dari Kota Belud, HAI MANDAK! tampil menggerakkan kempen ‘Anak Sabah Balik Mengundi’ bagi mengajak anak muda yang dianggap ‘kingmaker’ pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah ini untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Sabah.

Wakil ahli HAI MANDAK!, Priska Magdalene Sinem berkata, kos tiket penerbangan yang tinggi dibimbangi menghalang ribuan belia Sabah pulang mengundi, sekali gus menjejaskan suara anak muda pada hari pengundian.

“Mau balik, tapi tiket mahal, antara luahan yang tidak asing lagi didengari dalam kalangan belia Sabah yang berada jauh dari tempat asal mereka mengundi.

“Masalah ini bukanlah hal yang patut dibiarkan. Kalau ribuan anak muda tidak dapat balik hanya sebab tiket, suara belia Sabah akan senyap pada hari mengundi.

“Sedangkan belia adalah kingmaker untuk PRN17. Lebih 900,000 (54%) daripada pengundi Sabah adalah belia,” katanya semasa sidang media di Ruang Tamu Ekosistem, Alamesra di sini pada Isnin.

Sehubungan dengan itu, katanya, kempen ‘crowdfunding’ dijalankan untuk membantu sekurang-kurangnya 100 anak muda balik mengundi. 

Priska berkata, semua inisiatif ini adalah daripada mereka sendiri tanpa bantuan dana daripada mana-mana parti politik.

“Bagi kami, mengundi hanyalah salah satu daripada banyak lagi kuasa rakyat. 

“Untuk lebih ramai anak muda terlibat dalam proses demokrasi, anak muda harus mempunyai asas tentang kuasa undi dan bagaimana undi anak muda membawa pengaruh kepada sistem kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi ahli gerakan itu, Calvina Angayung menjelaskan setakat ini seramai 838 anak muda sudah mengisi borang fasa 1 Kempen Anak Sabah Balik Mengundi.

Menurutnya, sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada belia berusia 18 hingga 35 tahun yang kurang berkemampuan untuk pulang mengundi.

Selain itu, katanya inisiatif pendidikan politik kreatif dikenali sebagai ‘Kelas Ko Ada Kuasa Bah!’ (KKAKB!) turut diadakan bagi memberi pendedahan mengenai struktur kerajaan, saluran menyuarakan pandangan dan pentingnya kuasa undi dalam sistem demokrasi.

Setakat ini, 17 sesi KKAKB! telah dijalankan secara fizikal dan dalam talian di sekitar Kota Marudu, Kota Belud dan Kota Kinabalu dengan sambutan yang semakin meningkat.

Pada masa sama, HAI MANDAK! juga akan menjalankan siri ‘30 Hari 30 Konten PRN’ sepanjang musim PRN dan dalam masa yang sama akan menjalankan ‘Tour Kelas Ko Ada Kuasa Bah!’ di pelbagai lokasi di Sabah.

Sebagai rekod, HAI MANDAK! dianggotai empat ahli iaitu Priska, Calvina, Suriana Mohammad Salleh dan Cindy May Justin.

Orang ramai yang ingin menyokong kempen ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Kelab Belia Generasi Pemenang (Bank Simpanan Nasional) bernombor 1210841100066145 atau menghubungi talian 010-3934177.

Related Posts

Punca sokong Hamzah, Bersatu Pahang bergolak?

Oleh: Yusoff Din PEMECATAN Abdul Khalib Abdullah sebagai Ketua Bersatu Pahang dilihat membuka lagi episod pergolakan dalaman parti itu di negeri berkenaan, khususnya selepas kemelut melibatkan kem kepimpinan tertinggi parti…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sarawak perkukuh dasar tenaga, sasar kurangkan kebergantungan diesel

KUCHING – Sarawak terus komited memastikan kesejahteraan rakyat terjamin menerusi pelaksanaan dasar tenaga yang lebih efisien, khususnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan bahan api diesel. Premier Sarawak, Tan Sri Abang…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Punca sokong Hamzah, Bersatu Pahang bergolak?

Punca sokong Hamzah, Bersatu Pahang bergolak?

Sarawak perkukuh dasar tenaga, sasar kurangkan kebergantungan diesel

Sarawak perkukuh dasar tenaga, sasar kurangkan kebergantungan diesel

Pembinaan SMAN, naik taraf Jalan Tengah Nipah dalam pertimbangan

Pembinaan SMAN, naik taraf Jalan Tengah Nipah dalam pertimbangan

Impak konflik Asia Barat: Sarawak umum pakej bantuan RM876.2 juta

Impak konflik Asia Barat: Sarawak umum pakej bantuan RM876.2 juta

Dakwaan Pulau Sebatik diserah kepada Indonesia tidak benar – Hajiji

Dakwaan Pulau Sebatik diserah kepada Indonesia tidak benar – Hajiji

Lelongan antik palsu, pengarah syarikat rugi RM222,000

Lelongan antik palsu, pengarah syarikat rugi RM222,000