
ARAU – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melakar pencapaian baharu dalam bidang teknologi pertahanan negara apabila mengetuai projek pembangunan radar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) menerusi Dana Penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi (DP KPT) di bawah Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) bernilai RM800,000.
Projek berimpak tinggi bertajuk Conceptual Framework for Short-Range AESA Radar in Malaysian Operational Environment: Antenna Arrays, Propagation Dynamics and Intelligent Target Processing itu memberi tumpuan kepada pembangunan sistem radar AESA julat pendek untuk keperluan pertahanan negara.
Penyelidikan tersebut diterajui oleh Prof. Madya Dr. Muzammil Jusoh yang menyusun tiga komponen utama iaitu pembangunan reka bentuk antena AESA, pemodelan penyebaran gelombang radar dalam persekitaran tropika, serta pengecaman sasaran berasaskan AI.
Menurutnya, di bawah rangka kerja itu tiga subprojek utama dirangka, iaitu pembangunan antena julat pendek, pemodelan penyebaran radar dalam keadaan maritim tropika, serta pengesanan dan pengelasan objek pintar menggunakan teknologi pembelajaran mendalam (deep learning).
“Ketiga-tiga projek ini dijangka menghasilkan enam penerbitan berindeks tinggi, enam pembangunan pelajar pascasiswazah dan enam hak cipta (IP) melalui inovasi dalam reka bentuk antena, simulasi radar serta algoritma kecerdasan buatan.
“Projek ini turut disokong oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Science & Technology Research Institute for Defence (Stride) selain menjalinkan kerjasama strategik dengan Mindmatics Sdn. Bhd. bagi memperkukuh keberkesanan aplikasi radar nasional,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selain Prof. Madya Muzammil, dua lagi penyelidik turut mengetuai subkomponen di bawah program LRGS ini iaitu Prof. Madya Dr. Huda A. Majid dari UTHM dan Prof. Madya Dr. Zaid Omar dari UTM.
Majlis penyerahan geran berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sempena Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Tahun 2025 baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rizalafande Che Ismail serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Shukry Abdul Majid.
Zaliman berkata, kejayaan tersebut memperkukuh kedudukan Unimap sebagai peneraju dalam penyelidikan radar dan komunikasi pertahanan, sekali gus membuktikan kemampuan universiti awam tempatan menerajui penyelidikan berimpak tinggi di bawah skim LRGS.
“Kejayaan ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen Unimap terhadap pembangunan teknologi strategik negara, malah sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai inovasi dan kesejahteraan sejagat,” katanya.
Beliau menambah, dengan tumpuan kepada persekitaran tropika dan operasi maritim tempatan, projek ini dijangka mengisi jurang teknologi sedia ada serta mempercepat pemindahan pengetahuan kepada industri dan agensi keselamatan negara.




