RAKYAT Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan beliau memudahkan pembebasan dan perjalanan pulang 23 aktivis serta sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menerusi pelbagai hantaran di platform media sosial Threads, warganet menyatakan rasa lega, bangga dan terharu terhadap langkah diplomasi senyap yang diusahakan Perdana Menteri dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan.
Seorang pengguna, @jalalmisai, berkata, ramai pada awalnya mengkritik tindakan Perdana Menteri yang dilihat hanya mengeluarkan kenyataan mendesak pembebasan rakyat Malaysia di media sosial tanpa mendedahkan langkah lanjut yang diambil kerajaan.
Namun katanya, hasil usaha berterusan Perdana Menteri akhirnya membuahkan hasil apabila aktivis Malaysia antara kumpulan terawal dibebaskan selepas empat wakil rakyat Itali.
“Anwar tak perlu bagitahu semua benda di media sosial pun. Telefon siapa, jumpa siapa… kerja Perdana Menteri tu biar dia je buat,” tulisnya.

Sementara itu, pengguna @iam.tiong menegaskan bahawa tindakan Perdana Menteri tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia melibatkan keselamatan rakyat dan maruah negara.
“Penyokong pembangkang semua benda dia nak politikkan. Bila PMX bantu selamatkan sukarelawan GSF, mereka kata PMX buat wayang. Pembangkang ni memang tiada akal la,” ujarnya.

Dalam pada itu, @tigasatu menjelaskan tindakan Perdana Menteri menuntut pembebasan aktivis Malaysia adalah berasas kerana Israel tidak mempunyai hak untuk menahan atau memenjarakan rakyat Malaysia.
“Bila seseorang ditahan pihak berkuasa, seorang penjamin perlu hadir untuk menuntut orang yang kena tahan. Israel tiada hak untuk memenjarakan rakyat Malaysia, mereka cuma boleh tahan sementara. PMX buat apa yang sepatutnya,” tulisnya.

Bagi pengguna @ameqz_, kecaman terhadap Perdana Menteri disifatkan sebagai tidak wajar dan berpunca daripada sikap taksub politik.
“Bila taksub dengan politik macam tulah jadinya bang. Sikit-sikit wayang la apa la. ‘He did the best in his capacity as a PM’. Yang menyalak lebih tu aku rasa puak kampung mengaji tak habis bang,” katanya secara sinis.

Manakala @xries pula menyeru agar masyarakat tidak terus menilai secara negatif usaha Perdana Menteri tanpa memahami konteks sebenar diplomasi antarabangsa.
“Ha, siapa yang kata PMX suka buat-buat sibuk tu boleh la fikir dulu sebelum cakap lepas ni,” tulisnya.
Terdahulu, Anwar mengesahkan bahawa 23 aktivis dan sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel telah dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ramon sebelum diterbangkan ke Istanbul dan dijangka pulang ke tanah air.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia telah menggerakkan pelbagai saluran diplomatik termasuk berhubung dengan beberapa negara serta organisasi antarabangsa bagi memastikan pembebasan kesemua aktivis tersebut dapat disegerakan.









