KUANTAN – Seramai 1,640 pelajar dari kawasan Parlimen Paya Besar berpeluang mengikuti program Industrial Mind 2025@Paya Besar, yang berlangsung hari ini.
Pelajar Tingkatan 4,5 dan 6 daripada 13 sekolah menengah sekitar kawasan Parlimen itu dibawa melawat ke kawasan perindustrian dekat Gebeng, selain mengunjungi fasiliti perkhidmatan utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, program itu diselaraskan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan PahangGO.
“Idea untuk menganjurkan program ini hasil perbincangan kami bagi melaksanakan satu program yang bersifat pandang ke hadapan dan memberi ruang kepada pelajar melihat sendiri bagaimana industri berfungsi.
“Kita bawa pelajar-pelajar ini dari pagi, ke kilang-kilang besar, ke agensi seperti Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Perkeso, TNB, ECRL dan juga MCKIP.
“Menerusi program ini kita nak pastikan bahawa setiap pelajar mempunyai peluang seimbang, sama ada mereka mahu menyertai sektor pekerjaan berasaskan TVET atau kemahiran lain,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa puas hati dengan penganjuran kali pertama program itu dan memaklumkan ia akan diteruskan pada tahun depan.
“Paling penting kita nak pastikan semua pelajar, dan tidak ada yang ditinggalkan dalam mendapat pendedahan berkaitan peluang pekerjaan bernilai tinggi yang menanti mereka sebaik menamatkan persekolahan,” jelasnya.
Mohd Shahar menegaskan, program itu tidak hanya menumpukan kepada peluang pendidikan dalam bidang TVET semata-mata, sebaliknya ia bersifat umum dan terbuka berdasarkan kemampuan pelajar itu sendiri.
“Konsepnya sama macam dalam persekolahan, ada yang mempunyai kecenderungan dalam akademik dan ada yang mempunyai potensi dalam sektor kerja berkemahiran.
“Yang utama adalah pendedahan awal dan seterusnya, terpulang kepada minat dan kemampuan mereka untuk memilih,” katanya lagi.




