
NEGARA-NEGARA yang sebelum ini dilihat akrab dengan Israel kini beralih arah dengan lantang menyokong usaha menjadikan Palestin negara merdeka dan berdaulat, sekali gus menuntut zionis menghentikan kezaliman di Gaza.
Ketua Panji Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kesedaran antarabangsa itu turut dipacu oleh kebangkitan rakyat Eropah dan tekanan meluahkan sifat kemanusiaan yang semakin tinggi pada peringkat global membabitkan isu Palestin.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) memaklumkan, matlamat utama misi Global Sumud Flotilla (GSF) bukan sekadar penyampaian bantuan tetapi juga mengubah naratif geopolitik.
“Kita melihat perubahan khususnya dari negara Eropah, kebangkitan rakyat yang menolak kerjasama dan sokongan selama ini bersama Zionis Israel, menunjukkan peralihan menyokong Palestin serta mengiktiraf Palestin.
“Pastinya inilah langkah yang kita tunggu selama ini, tidak boleh diubah secara kekerasan tetapi melalui perubahan kecil yang sah ini akan membawa perubahan ke arah pembebasan Palestin daripada penjajah Zionis Israel,” katanya yang berkongsi perkembangan terkini kepada wartawan menerusi WhatsApp audio, pada Isnin.
Dalam pada itu, Muhammad Nadir memaklumkan, perubahan itu juga berlaku kesan daripada misi GSF bersama gabungan flotila antarabangsa terbesar dunia yang ketika ini memberi tumpuan untuk membuka koridor kemanusiaan dan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza supaya bantuan makanan serta ubat-ubatan dapat sampai.

“Sahabat kita yang menaiki bot lain masih bergerak menuju ke Gaza dan mereka dijangka masuk ke kawasan zon merah pada Selasa malam atau Rabu pagi, mungkin bermulanya kawasan serangan pada saat itu.
“Saya masih berada di Greece, sedang belayar dan cuba sampai kepada mereka bersama-sama dengan rakan lain, insya-Allah,” katanya
Dalam pada itu, beliau mendedahkan, perjalanan setakat ini masih mengikut perancangan walaupun berdepan risiko keselamatan termasuk sabotaj dan kerosakan teknikal pada beberapa bot.
“Pastinya apa yang sedang dilaksanakan memberi impak begitu besar kepada keadaan geopolitik kerana ia membuka peluang untuk koridor kemanusiaan dibuka, bukan saja bagi flotila ini, tetapi juga misi lain yang sedang bergerak ke Gaza,” katanya.
Sehingga bulan ini, sebanyak 157 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat, mewakili kira-kira 81 peratus komuniti antarabangsa.
Pada Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, lebih 140 negara menyokong resolusi berkaitan penyelesaian dua negara, menolak keganasan dan menyatakan sokongan jelas terhadap masa depan Palestin.
Malah, beberapa negara Barat yang sebelum ini enggan membuat langkah rasmi turut mengumumkan pengiktirafan atau tindakan diplomatik menyokong Palestin termasuk United Kingdom (UK), Kanada, Australia, Portugal dan Perancis, selain negara Eropah kecil seperti Malta, Belgium, Andorra dan Monaco.
Pelayaran GSF membabitkan penyertaan sukarelawan daripada 45 negara yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan serta dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat.






