
PUTRAJAYA – Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan tidak lama lagi dijangka bakal menjadi sebuah bajet yang ‘mesra rakyat’, dengan tumpuan utama diberikan kepada usaha meringankan beban kos sara hidup menerusi peningkatan bantuan tunai dan potensi insentif khas untuk kakitangan kerajaan.
CGS International menerusi laporan berpendapat, kerajaan dijangka akan meneruskan agenda memenangi hati rakyat selepas negara melalui satu fasa reformasi ekonomi yang mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Fokus utama yang dinantikan adalah peningkatan lanjut dalam agihan bantuan tunai menerusi skim-skim ‘Rahmah’. Peruntukan untuk program bantuan ini sudah pun berada pada paras tertinggi dalam sejarah, iaitu sebanyak RM15 bilion pada tahun ini, dan jumlah itu dijangka akan ditambah lagi dalam Belanjawan 2026.
“Selain itu, petanda positif turut diberikan kepada kira-kira 1.7 juta penjawat awam di seluruh negara seperti dikhabarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang membayangkan kemungkinan adanya khabar gembira buat golongan itu.
“Kemungkinan ia hadir dalam bentuk pembayaran bonus, seperti yang pernah dilakukan pada tahun 2012, atau kenaikan gaji yang lebih tinggi daripada kadar 3.0 hingga 7.0 peratus yang dijadualkan pada Januari 2026,” katanya, pada Isnin.
Dalam pada itu, CGS International turut memaklumkan, Belanjawan 2026 juga dijangka akan memberi tumpuan untuk melaksanakan lebih banyak pendekatan bersasar bagi membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaan subsidi yang tinggi.
Firma penyelidikan pasaran itu berkata, walaupun kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk menangani bil subsidi yang tinggi, ia berpendapat bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengurangkan perbelanjaan terbabit.
“Kami menganggarkan perbelanjaan subsidi akan berkurangan kepada RM50 bilion pada tahun depan daripada RM60 bilion yang diunjurkan pada 2025, namun jumlah ini masih tinggi berbanding julat sebanyak RM20 bilion hingga RM40 bilion dalam tempoh 10 tahun lalu.
“Oleh itu, kami menjangkakan usaha rasionalisasi subsidi akan diteruskan dengan menangani beberapa isu. Perkara pertama yang mungkin disentuh dalam Belanjawan 2026 adalah isu yang belum selesai berkaitan diesel.
“Pada Jun 2024, Malaysia telah menamatkan subsidi diesel pukal untuk sektor pengangkutan melalui pengenalan sistem ‘Fleet Card’. Namun begitu, Sabah dan Sarawak masih dikecualikan daripada pelaksanaan rasionalisasi harga ini, dengan harga diesel kekal pada kadar subsidi RM2.15 seliter,” katanya.
CGS International berpandangan, pengecualian itu mencerminkan cabaran unik yang dihadapi oleh wilayah berkenaan, termasuk peratusan tinggi kenderaan berkuasa diesel dan populasi luar bandar yang besar.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya berpendapat langkah ke arah subsidi diesel yang lebih bersasar, serta usaha kerajaan untuk mengurangkan ketirisan, mungkin akan diperluaskan di Sabah dan Sarawak.
“Salah satu cara yang boleh digunakan ialah dengan meniru penggunaan MyKad untuk mengakses diesel bersubsidi, seperti yang dirancang untuk RON95 di samping kita juga menjangkakan Belanjawan 2026 akan membangkitkan keperluan pendekatan lebih bersasar terhadap minyak masak.
“Pendedahan terkini dalam Laporan Ketua Audit Negara 2025 menunjukkan bahawa dasar sedia ada bagi subsidi minyak masak tidak mempunyai pendekatan menyeluruh, menyebabkan berlakunya ketirisan, ” katanya.
Namun begitu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini melaporkan bahawa ia sedang membangunkan satu aplikasi yang memerlukan bukti pengenalan diri untuk membeli pek minyak masak bersubsidi.
“Berdasarkan akaun kerajaan yang telah diaudit, subsidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak telah menelan belanja sebanyak RM1.7 bilion pada 2023,” katanya.
Firma itu menambah, Belanjawan 2026 mungkin turut menyentuh usaha untuk menutup ketirisan dalam sektor perikanan serta peruntukan diesel semasa untuk nelayan membolehkan mereka membeli bahan api pada harga subsidi RM1.65 seliter, berbanding harga pasaran semasa RM2.90.
“Oleh kerana perbezaan harga yang ketara, ketirisan sering berlaku, terutama di kawasan sempadan, kerajaan merancang untuk melancarkan aplikasi mudah alih baharu dan sistem pengecaman wajah bagi menggantikan peranti pembantu digital peribadi (PDA) yang lapuk, dengan tujuan meningkatkan keselamatan dan mencegah penyelewengan.
“Selaras dengan perancangan kenaikan cukai di bawah dasar ‘pro-kesihatan’, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk tidak lagi mengawal selia harga gula, supaya ia mencerminkan keadaan pasaran sebenar.
“Ini akan menghalang harga gula daripada dikekalkan secara ‘buatan’ pada paras rendah, mengurangkan tabiat pemakanan tidak sihat, serta membolehkan sektor ini menjadi lebih berdaya saing,” katanya.




