
MALAYSIA dilihat tidak mengenepikan kepentingan Amerika Syarikat (AS) meskipun mempunyai hubungan akrab dengan China, sekali gus membuktikan kebijaksanaan negara ini mengimbangi dua kuasa besar.
Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan berkata, sikap berkecuali dan matang itu menjadikan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini dipuji oleh AS.
“Malaysia menasihati negara ASEAN supaya tidak mengambil pendekatan konfrontasi dengan AS.
“Perkara ini diketahui dan dihargai oleh Washington termasuk bekas Presiden Donald Trump yang melihat peranan pengerusi ASEAN amat signifikan,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Khamis.

Menurut beliau, Malaysia turut menunjukkan kebijaksanaan dengan memastikan rundingan penting, termasuk gencatan senjata dan tarif dalam kalangan negara ASEAN, melibatkan penyertaan kedua-dua kuasa besar itu.
Jelas Azmi, tindakan ini memperlihatkan Malaysia tidak berat sebelah, sebaliknya mengutamakan keharmonian ASEAN dalam mendepani cabaran geopolitik semasa.
Terdahulu, pada Rabu, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer memuji kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
Dalam sidang media selepas mengetuai rundingan antara Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan AS, beliau menyanjung kepimpinan serta layanan mesra Malaysia dalam mengemudi blok serantau itu yang dianggotai 10 negara sepanjang mesyuarat tahun ini.




