
PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI disarankan melaksanakan tapisan dengan lebih ketat dan terperinci terhadap kelayakan pengecualian siling subsidi petrol RON95 kepada pemandu e-hailing bagi memastikan hanya yang benar-benar aktif menerima manfaat tersebut.
Rakan bersekutu, Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Mohd Sham Isa melahirkan kebimbangan inisiatif itu boleh disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga memberi tekanan kepada pendapatan pemandu e-hailing yang kini berdepan dengan kadar tambang rendah
“Kita amat menghargai langkah kerajaan membenarkan pemandu e-hailing memohon penggunaan RON95 melebihi kuota ditetapkan, selain seluruh rakyat menikmati harga subsidi RM1.99 seliter namun amun tanpa kawalan rapi, langkah ini berisiko membuka ruang ketirisan.
“Kami bimbang akan wujud manipulasi pendaftaran oleh individu yang tidak aktif atau tidak sah, hanya untuk menikmati subsidi. Fenomena ini boleh melahirkan ‘pemandu bayangan’ yang menjejaskan hak dan rezeki pemandu aktif,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Sehubungan itu, Mohd Sham yang berkata, terdapat keperluan buat kerajaan, khususnya pihak yang berwajib mewujudkan sistem kawalan pengesahan ketat dengan kerjasama platform e-hailing berdaftar serta persatuan pemandu.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pemandu eHailing Sungai Petani (PEHSP) berpandangan, kerajaan perlu mewujudkan ketetapan bahawa hanya pemandu aktif dengan rekod perjalanan sah layak menerima kelonggaran subsidi.
“Pada masa sama, tubuhkan juga sistem audit berkala serta pangkalan data bersepadu bagi mengelakkan penyalahgunaan di samping memastikan subsidi sampai kepada penerima yang berhak serta layak.
“Subsidi ini harus benar-benar memanfaatkan pemandu e-hailing sepenuh masa, bukan kepada mereka yang hanya mengambil kesempatan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON 95 turun kepada RM1.99 seliter hanya untuk kegunaan rakyat tempatan bermula 30 September ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan warga asing perlu membayar pada harga RM2.60 seliter bermula tarikh sama.
Kerajaan sebelum ini melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada Jun tahun lalu.







