
KUCHING – Sambutan Maulidur Rasul anjuran Kelab Literasi Digital Warga Emas Kuching (DiWarMas AKRAB) dan Pustaka Negeri Sarawak bukan sahaja menghidupkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah menjadi wadah menyatukan masyarakat pelbagai peringkat usia.
Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli berkata, penghayatan terhadap keperibadian Rasulullah SAW sangat penting untuk dijadikan panduan hidup.
“Rasulullah SAW adalah model terbaik dalam akhlak dan tingkah laku manusia. Hingga hari ini tiada individu lain yang mampu menandingi kehebatan akhlak Baginda. Program ini diharap bukan sahaja memberi kesedaran kepada warga emas, tetapi juga kepada generasi muda tentang pentingnya mencontohi akhlak Rasulullah,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan dunia dan akhirat hanya dapat dicapai jika masyarakat kembali berpandukan ajaran agama.
“Pada zaman sekarang, ramai yang menilai dosa dan pahala berdasarkan logik atau pengalaman hidup masing-masing. Jika tiada panduan agama, nilai baik dan buruk akan berbeza-beza, dan ini boleh menimbulkan masalah dalam masyarakat,” jelasnya.
Japri menambah Rasulullah SAW telah menghadapi pelbagai ujian hidup dengan penuh kesabaran dan akhlak mulia, justeru menjadi contoh terbaik untuk umat Islam.
“Bahkan sarjana bukan Islam juga mengakui kehebatan Rasulullah SAW sebagai individu, ketua keluarga, pemimpin masyarakat dan pemimpin umat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah oleh wartawan TMP di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching pada Selasa.

Sementara itu, Penghulu Kampung Tunku, Kampung Lintang dan Kampung Malaysia Jaya, Awang Sepian Awang Juini turut menzahirkan penghargaan kepada DiWarMas AKRAB atas penganjuran program berkenaan.
“Saya ucapkan tahniah kerana berjaya melaksanakan program yang baik ini. Bukan sekadar mendengar ceramah, malah ia mengeratkan silaturahim sesama ahli. Saya berharap ia dapat diteruskan setiap tahun,” katanya.
Program sambutan itu bukan sahaja memperingati kelahiran Rasulullah SAW, malah mengukuhkan kesedaran tentang kepentingan mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.







