JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya menumpaskan kegiatan seorang pemandu yang dipercayai menipu seorang pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, susulan satu operasi penyamaran khas yang dijalankan semalam.
Kejadian itu tular di media sosial dua hari lalu apabila pelancong terbabit dilaporkan dikenakan caj tambang sebanyak RM836, berbanding tawaran awal hanya RM60 untuk perjalanan yang sama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau telah mengarahkan JPJ untuk menjejaki kenderaan terbabit dan berjaya menahannya bersama pemandunya dalam operasi tersebut.
“Selepas tular dalam media sosial 2 hari lalu berkenaan berita seorang pelancong asing yang ditipu oleh ‘ulat’ di KLIA T2 dengan tawaran asal RM60 tetapi dipaksa bayar RM836 sebelum turun kereta, saya telah mengarahkan JPJ untuk menjejaki kenderaan tersebut.
“Semalam, selepas operasi samaran di KLIA, JPJ telah berjaya menahan kenderaan tersebut bersama pemandunya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau lagi, kenderaan berkenaan telah disita serta-merta dan kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan selanjutnya.
Anthony turut merakamkan penghargaan kepada pasukan JPJ atas tindakan pantas, dan menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan (MoT) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjejaskan imej negara.



