KUANTAN – Seramai 200 pelajar menyertai kem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) anjuran Pertubuhan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Kem itu dianjurkan sebagai menyahut saranan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memupuk minat pelajar dalam bidang STEM.
Pengerusi WINK, Sridayu Samsuri berkata, kem itu juga bertujuan merangsang pelajar Tingkatan Tiga untuk memilih aliran sains apabila melangkah ke Tingkatan Empat.
“Semua 200 pelajar yang mengikuti kem dua hari ini adalah dari lima sekolah di sekitar Kuantan dan Pekan.
“Ini adalah tahun kedua penganjuran kem STEM dan ia adalah kesinambungan kepada kejayaan siri pertama kem berkaitan tahun lalu,” katanya.
![]()
Sridayu memaklumkan, kem itu dijayakan menerusi kerjasama strategik dengan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik, UMPSA dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.
Katanya, sebanyak lapan modul STEM dilaksanakan dalam kem tahun ini, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), Fizik dan Robotik serta Pengekodan Robot.
Sementara itu, Pengarah Kem STEM 2025, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, program berkenaan mendapat tajaan MOSTI dan berjaya mengeratkan hubungan antara komuniti dan institusi pengajian tinggi seperti UMPSA.
“Saya berharap program ini dapat meningkatkan bilangan pelajar yang menceburi bidang sains dan teknologi di daerah Kuantan dan Pekan,” katanya.







