187,652 rakyat Malaysia bebas kebankrapan sejak 2023 – Kula Segaran

KOTA KINABALU – Seramai 187,652 individu berjaya dibebaskan daripada status kebankrapan sejak pelaksanaan dasar ‘Peluang Kedua’ oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI). 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran berkata, pelaksanaan bermula Mac 2023 hingga Jun 2025, sekali gus memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membantu rakyat membina semula kehidupan mereka.

“Pencapaian tersebut adalah bukti nyata keberkesanan inisiatif reformasi undang-undang dan institusi di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.

“Ini amat membanggakan dan sejajar dengan sasaran kita untuk membebaskan sekurang-kurangnya 200,000 individu daripada kebankrapan menjelang akhir tahun 2025. 

“Ia menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memberi peluang kedua kepada rakyat,” katanya semasa merasmikan Program Justice On Wheel (Jow) Tahun 2025, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Kula Segaran turut memaklumkan bahawa enam individu yang telah melalui proses kebankrapan secara sah akan menerima Sijil Pelepasan masing-masing hari ini daripada Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, menandakan pembebasan rasmi mereka daripada status muflis.

“Ini adalah satu peluang baharu buat mereka yang sebelum ini terbeban dengan kebankrapan atas pelbagai faktor. 

“Kita mahu mereka kembali menyumbang kepada masyarakat dan ekonomi negara,” katanya. 

Dalam pada itu, di peringkat negeri, MDI Sabah turut menunjukkan prestasi cemerlang apabila telah berjaya melepaskan 4,104 kes kebankrapan sejak tahun 2023 hingga Julai 2025. 

Jabatan itu juga menyasarkan pelepasan tambahan sebanyak 480 kes lagi dalam tempoh tiga bulan akan datang, menjelang akhir tahun ini.

“Syabas kepada Jabatan Insolvensi Sabah atas usaha dan dedikasi mereka. 

“Usaha ini memberi makna besar kepada mereka yang sebelum ini terperangkap dalam kemelut kewangan, terutama di negeri seperti Sabah yang turut menampung cabaran geografi dan ekonomi,” katanya.

Tambahnya, dasar pelepasan kebankrapan ini dilihat sebagai salah satu tonggak penting dalam agenda reformasi Kerajaan MADANI, yang bukan sahaja memfokuskan kepada pembangunan ekonomi negara, tetapi juga kesejahteraan dan pemulihan individu.

“Kita tidak mahu sesiapa pun terus dihukum seumur hidup kerana kegagalan kewangan. 

“Rakyat yang diberi peluang kedua ini boleh kembali aktif dalam sektor pekerjaan, keusahawanan, malah menyumbang kembali kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.

Kula turut menyeru agar rakyat, mengambil peluang daripada pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan termasuk khidmat nasihat guaman, bantuan pemulihan kewangan dan program pendidikan undang-undang.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu; Datuk Chan Foong Hin; Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah; Datuk Tan Lee Fatt dan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pembangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Lifred Wong.

Related Posts

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

PUTRAJAYA – Tiada mana-mana individu berada di atas undang-undang dan setiap yang disabitkan kesalahan mesti menjalani hukuman mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada, tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR – Harga arang batu yang melonjak kepada AS$148 satu tan pada 10 September meningkatkan tekanan terhadap kos penjanaan elektrik negara, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

  • By Fatin
  • September 18, 2026
Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

  • By Fandi
  • September 18, 2026
Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah