
JAKARTA – Kementerian Kesihatan Indonesia mencatatkan 88 kes cacar monyet (mpox) dari tahun 2022 hingga kini dan Jakarta adalah wilayah yang paling terjejas teruk.
Pemangku Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Dr Yudhi Pramono mendedahkan bahawa taburan kes termasuk 59 di Jakarta, 13 di Jawa Barat, sembilan di Banten, masing-masing tiga di Jawa Timur dan Yogyakarta, dan satu di Kepulauan Riau.
“Daripada jumlah ini, 87 kes telah pulih. Kemuncak kes mpox yang disahkan berlaku pada Oktober 2023, seperti yang ditunjukkan dalam trend mingguan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa varian Clade IIb, yang mempunyai kadar kematian yang lebih rendah dan disebarkan terutamanya melalui hubungan seksual, terlibat dalam 54 kes.








