
PEMIMPIN dunia perlu mencontohi keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong gerakan kemanusiaan Gaza dan tidak gentar dalam berjuang membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim zionis Israel.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzaman, tindakan Anwar telah dibuktikan selepas beliau menjadi penaung rasmi Sumud Nusantara selain menyokong penuh terhadap misi kemanusiaan flotilla ke Gaza.
“Perdana Menteri telah membuktikan keberanian dengan mendahului langkah berani ini. Justeru, saya menyeru para pemimpin serantau seperti Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Bhutan, Nepal, Filipina dan Thailand untuk turut menyatakan sokongan rasmi demi menjayakan misi Global Sumud Flotilla.
“Kepada mereka yang menonton video ini, dan khususnya daripada Sumud Nusantara, sampaikanlah kepada pemimpin negara anda yang kami menyeru anda mencontohi usaha Perdana Menteri kita yang mengisytiharkan (beliau) penaung Sumud Nusantara,” katanya menerusi pada sidang media Global Sumud Flotilla, di Tunisia, pada Rabu.

Sementara itu, Chief de Mission Malaysia (GSF) Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery menyifatkan sokongan kerajaan Malaysia terhadap misi berkenaan sebagai isyarat kebangkitan rakyat dan negara dalam usaha menghentikan peperangan melalui pelbagai pendekatan.
“Misi kemanusiaan ini adalah indikator kebangkitan bersama rakyat dan pihak kerajaan. Ia bukan hanya melalui diplomasi dan persidangan, malah turut diterjemahkan dengan tindakan berani menghantar flotila ke Gaza.
“Kita bersama 44 negara, dengan kumpulan terbesar dari 10 negara Nusantara,” katanya.
Global Sumud Flotilla dijangka menjadi misi kemanusiaan terbesar rantau ini, sekali gus memperkukuh solidariti Nusantara dan dunia terhadap Palestin.
Misi kemanusiaan itu yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pertengahan bulan ini selepas belayar merentasi Laut Mediterranean.
Antara yang menyertai misi itu artis tanah air Zizi Kirana dan Ardell Aryana, serta pendakwah Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat.

Kumpulan kedua pula melibatkan 15 aktivis Malaysia termasuk pempengaruh Farah Lee dan ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad.
Flotila kemanusiaan itu bertujuan menarik perhatian kerajaan dari seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan genosid di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mangsa yang memerlukan.
Global Sumud Flotilla menghimpunkan gabungan antarabangsa merangkumi Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat, menyaksikan semua delegasi yang menyertainya mendukung prinsip tanpa keganasan dan menyifatkan flotila bukan misi kemanusiaan semata-mata malah sebagai simbol kekukuhan perpaduan global bersama rakyat Gaza.






