
PUTRAJAYA – Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara disifatkan sebagai sejarah baharu bagi landskap pekerjaan negara apabila lebih 1.2 juta pekerja gig kini menikmati pengiktirafan dan perlindungan undang-undang.
Ketua Aktivis Gabungan E-hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, pencapaian itu adalah kemenangan besar buat komuniti pekerja gig selepas sekian lama berjuang mendapatkan keadilan sosial.
“Alhamdulillah, sejarah baharu telah tercipta dengan kelulusan RUU Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Namun ia bukan noktah perjuangan.
“Sebaliknya permulaan babak baharu untuk memperjuangkan keadilan sosial, perlindungan undang-undang, serta masa depan ekonomi pekerja gig yang lebih adil dan bermaruah,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; penjawat awam, agensi berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO) serta semua rakan seperjuangan yang konsisten mendukung usaha GEM.
“Perjuangan tersebut digerakkan atas semangat “Fakku Raqabah” iaitu membebaskan manusia daripada segala bentuk penindasan, sekali gus menjadi roh kepada gerakan pekerja gig di negara ini,” katanya.

Terdahulu, RUU Pekerja Gig 2025 telah diluluskan oleh Dewan Negara, pada Selasa yang akan melindungi lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia dan meletakkan noktah kepada era tiada perlindungan undang-undang terhadap golongan itu.
Dasar yang akan memberi perlindungan menyeluruh termasuk aspek kebajikan, keselamatan sosial dan hak mereka sebagai sebahagian tenaga kerja penting dalam ekonomi negara itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Dewan Negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, cadangan potongan secara automatik caruman bagi pekerja gig di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi memperkukuh penguatkuasaan serta memperluas perlindungan sosial.
Beliau berkata, pindaan itu bertujuan menangani kelemahan akta sedia ada khususnya dari segi kebolehkuatkuasaan dengan memperkenalkan potongan automatik melalui integrasi sistem antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) dengan platform.






