PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga lima penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu yang maut dalam nahas di Jalan Sulaman Gayang berhampiran Pusat Latihan Rela di Tuaran, Sabah, petang semalam.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Setiausaha Politiknya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin telah bertemu keluarga mangsa bagi mewakili beliau untuk menyampaikan salam takziah serta sumbangan segera bagi meringankan beban yang dirasai ketika ini.
“Saya amat sedih dan berduka apabila menerima khabar tentang kemalangan tragis di Jalan Sulaman, Tuaran, Sabah yang meragut nyawa lima penuntut IKM Kota Kinabalu petang tadi.
“Saya berdoa semoga keluarga mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X malam tadi.
Terdahulu, lima pelajar lelaki berusia 20-an disahkan maut selepas kenderaan pelbagai guna dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler pada 2.09 petang.







