CHUKAI – Penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) One-Off RM100 dilihat memanfaatkan sepenuhnya inisiatif itu untuk membeli barangan keperluan harian di beberapa pasar raya sekitar bandar ini.
Seorang juruwang, Afiqah berkata, sejak 31 Ogos lalu, kedai tempat dia bertugas menerima antara 100 hingga 150 pembeli setiap hari yang menebus bantuan berkenaan.
“Majoriti pelanggan membeli barang asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan keperluan dapur lain. Bantuan ini memang dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima,” katanya.
Afiqah menambah, langkah kerajaan menyalurkan bantuan SARA tepat pada masanya kerana membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup.
Untuk rekod, bantuan SARA ‘one-off’ yang mula disalurkan pada 31 Ogos boleh ditebus sehingga Disember 2025.





