
PUTRAJAYA – Cadangan pembelian tanah di Arab Saudi akan diteliti dan dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira keadaan pasaran semasa, tahap risiko dan keupayaan kewangan Tabung Haji (TH).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Hasan berkata, sebarang keputusan diambil TH mesti mempertimbangkan keseluruhan faktor bagi memastikan setiap pelaburan memberikan manfaat kepada semua pendeposit.
“Buat masa ini masih terlalu awal dan belum ada perincian dan maklumat menyeluruh berkenaan pindaan undang-undang berkaitan pemilikan hartanah,” katanya.
Zulkifli berkata demikian menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu sama ada TH bercadang menambah aset dengan membeli tanah di kawasan berdekatan Masjidil Haram bagi menambah baik perkhidmatan kepada bakal jemaah haji Malaysia pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata, TH memeterai perjanjian jangka panjang bersama pelbagai pihak penyedia perkhidmatan di Arab Saudi bagi memastikan mutu perkhidmatan tinggi dapat dikekalkan, di samping menyeimbangkan kemampuan kewangan supaya sentiasa mampan.






