OLEH: Khairil Hilmi Mokhtar
JULAI 2025 menyaksikan kisah tragik kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, anak berusia 13 tahun yang meninggal dunia sehari selepas ditemui terbaring di dalam kawasan asrama sekolahnya. Walaupun diawal kejadian menteri berkaitan dan kenamaan tempatan hadir menziarahi keluarga mangsa, ianya tidak dapat menutup duka dan hiba yang menduga.
Menyusul pula situasi kelompongan maklumat akan apa sebenarnya berlaku selama berhari-hari selepas kejadian. Ini mengundang pelbagai persoalan yang disulam spekulasi akibat tiada komunikasi krisis dilaksanakan. Tragedi ini akhirnya telah menimbulkan gelombang gerakan rakyat yang bermula di Sabah dan akhirnya merebak ke seluruh negara.
Pada 3 Ogos 2025 Perdana Menteri, DatUK Seri Anwar Ibrahim pada siangnya di Kota Kinabalu menyatakan rasa sedih dan simpati akan tragedi ini dan jaminan tegas bahawa keadilan akan ditegakkan terhadap kes ini mengikut lunas undang-undang negara.
Pada sebelah malamnya, sekumpulan anak muda mengadakan perhimpunan aman di Gaya Street dan menyuarakan pandangan mereka tentang tuntutan keadilan kepada mangsa. Himpunan disertai kira-kira 300 orang awam yang kebanyakannya ibu bapa yang membawa anak-anak mereka dan menyatakan sokongan terhadap hasrat himpunan tersebut. Maka dunia mula mendengar laungan ‘Justice For Zara’.
Permulaan gelombang ini pada malam 3 Ogos 2025 disaksikan sendiri oleh penulis dan bagaimana sebaik sahaja doa yang dibaca selesai dan diaminkan, hujan lebat mencurah-curah turun. Kesemua ini tidak hanya disaksikan oleh mereka yang hadir di lokasi, tetapi turut disertai warga maya yang turut menonton di pelbagai platform media sosial. Ia mengaut sekaligus rentapan perasaan sedih, hiba, duka yang disulam rasa kecewa, marah dah putus asa.
Sentimen inilah yang membentuk kesedaran akan peristiwa ini dan menjadi gelombang yang membangkitkan perasaan rakyat yang merebak ke seluruh negara. #JusticeForZara menjadi fenomena yang menggelombang dijana dari luasnya rantaian perkongsian konten di media sosial.
Paling menarik, pelbagai individu dan kelompok dari pelbagai latar belakang mengambil inisiatif memperluas kesedaran ini menggunakan kecerdasan buatan sebagai alatan (tools) dalam mencipta konten mereka. Maka begitu luas sebaran, bahan multimedia yang dicipta bagi tujuan menyumbang akan gerakan #JusticeForZara ini.
Paling ketara muncul lagu tema #JusticeForZara yang digunakan secara massa dan menjadi latarbelakang mesej-mesej pengguna media sosial yang aktif ingin bersama dengan gerakan ini. Selain dari lagu tersebut, muncul pelbagai konten dijana AI yang digunakan warganet dalam menyampaikan mesej-mesej mereka sebagai sebahagian dari fenomena gelombang #JusticeForZara ini. Pelbagai hasilan video janaan AI muncul baik di TikTok, Instagram, Facebook dan Youtube.
Apa yang disaksikan merupakan suatu bentuk perubahan dalam penggunaan media sosial melalui adaptasi pantas masyarakat terhadap teknologi ini. Ia terlalu pantas dan memberi impak besar hinggakan banyak ketika dari pakar-pakar teknologi sendiri sukar mengesahkan akan kesahihan maklumat yang di kongsi hasil janaan AI yang dijadikan konten media sosial.
Bukan sahaja Malaysia dilanggar tsunami sentimen simpati akan tragedi kematian seorang pelajar, tetapi medan media sosial Malaysia turut dihempas dengan kandungan-kandungan ciptaan warganet yang menggunakan AI dalam menzahirkan imaginasi dan kreativiti mereka melalui penghasilan konten.
Inilah fenomena yang terhasil dari wujudnya teknologi AI yang menjadi wadah ekspresi netizen. Dan ia ibarat di luar kawalan dengan kebebasan menghasilkan konten seperti tiada batasan. Manfaat teknologi baharu sememangnya kita perlu raikan, tetapi pada masa yang sama banyak yang perlu risaukan.
Wujudnya audio-video di media sosial yang dilambakkan dengan berita palsu, maklumat mengelirukan, angan-angan pencipta, pembohongan, fitnah, tohmahan dan agenda subversif bertujuan memperngaruhi minda massa. Pembohongan mulai semakin direka dengan kreativiti dan bertukar menjadi suatu yang dipercayai dan ingin dipercayai. Kebenaran pula semakin terkabur kerana fakta dan bukti tidak dianggap sensasi. Gossip dan khabar angin lebih seronok dibicarakan serta lebih diterima massa walaupun ia palsu dan jelas palsu.
Konten-konten dijana teknologi AI bersifat ‘disinformation’ dan ‘misinformation’ terus memenuhi media sosial demi memenuhi keinginan sensasi netizen yang dambakan maklumat. Beza hak dan batil semakin kabur.
Inilah manipulasi di media sosial yang telah hadir dalam bentuk dan rupa yang dijana teknologi kecerdasan buatan. Keprihatinan rakyat Malaysia akan tragedi yang berlaku ini, lahir dari kesedaran dan hati nurani rakyat yang mendambakan keadilan dan ketelusan berlaku terhadap kejadian ini. Gelombang kesedihan rakyat ini timbul dari hati yang jujur dan luhur serta kesedaran akan natijah budaya buli dalam masyarakat khususnya di sekolah.
Di sebalik itu, keikhlasan rakyat dalam turut serta menggerakkan gelombang ini, sisi Kecerdasan Buatan yang tercetus dan menjadi sebahagian dari fenomena ini wajar dikendali dengan cermat dan berhati-hati. Netizen harus bersiap siaga agar kebenaran tidak tertutup dek sebaran berita palsu dijana AI khususnya penghasilan bahan media sosial yang sekadar ‘…demi konten’.
Musuh negara juga boleh memanipulasi sentimen sekiranya kita terkeliru berita sahih atau berita palsu untuk memecah belah rakyat. Semoga kita semua terus menggunakan media sosial dengan bijak dan selamat melalui kawalan kendiri agar dapat membezakan yang hak dari yang batil.
*Penulis ialah seorang Penganalisis Keselamatan Strategik




